Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pencalonan anugerah tokoh akademik bahasa Melayu dibuka

Pencalonan bagi Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal kini dibuka sehingga 2 Jun depan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memberitahu Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu terbuka kepada ahli akademik universiti awam berusia 44 tahun ke bawah.

Menurut kenyataan itu, ia diperkenalkan bagi mengiktiraf ahli akademik universiti awam yang mengangkat bahasa Melayu dalam pelbagai bidang untuk memartabatkan bahasa itu sebagai wahana penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas bukan sahaja dalam bidang sains sosial malah sains dan teknologi.

Kenyataan itu menyebut Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal pula diadakan bagi mengiktiraf ahli akademik di politeknik dan kolej komuniti.

Maklumat lanjut mengenai anugerah tersebut boleh didapati di laman sesawang rasmi https://atabm.mohe.gov.my atau kemukakan pertanyaan kepada urus setia melalui e-mel [email protected].

Menurut KPT, sembilan orang tokoh akademik telah menerima anugerah berkenaan sejak diperkenalkan pada 2012.

“Melalui penganugerahan ini, KPT akan terus komited mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, seterusnya menjadikan ia kekal menjadi wahana pembangunan ilmu, penyampaian maklumat dan komunikasi di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS