Umno Johor ambil alih proses pemilihan Umno Johor Bahru
Proses pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru yang masih ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lepas akan diambil alih oleh badan perhubungan Umno negeri, kata Mohamed Khaled Nordin.
Sebelum ini, proses pemilihan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU).
Mengesahkan perkara itu, Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Umno Johor itu berkata setiausaha badan tersebut, Abdul Halim Suleiman, akan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pemilihan berkenaan.
“Setiausaha (Abdul Halim) akan lihat dan bincang kesesuaian masa dan memastikan perjalanan mesyuarat semula itu dapat dilakukan dengan baik.
“Kami seboleh-bolehnya mahu ia dilakukan segera tetapi kami mengambil kira sekarang ni Ramadan dan bahagian Johor Bahru tak macam bahagian lain yang hanya libatkan ketua tapi nampaknya melibatkan semua sekali (ahli jawatankuasa), jadi perlu bincang.
“Kita tidak mahu nanti yang datang segelintir, jadi kalau kita buat, kita hendak semua boleh datang, (tak mahulah) kalau pemilihan itu (sudah berlaku) berlaku rumah dah siap, pahat masih berbunyi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Badan Perhubungan Umno Johor Penggal 2023/2026 di Johor Bahru hari ini.
Turut hadir, barisan pemimpin Badan Perhubungan Umno Johor yang baru.
Pada 18 Mac lalu proses pemilihan Umno Johor Bahru ditangguh dan digantung selepas dakwaan berlaku kertas undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir.
Keputusan tersebut dibuat Pengerusi Tetap Umno Johor Bahru Azmi Samin selepas dimaklumkan Pengerusi JPU Johor Bahru Sonawan Mad Som.
Pemilihan itu adalah antara yang menjadi perhatian apabila penyandangnya Shahrir Abd Samad mengumumkan tidak bertanding pada pemilihan kali ini.
Persaingan untuk jawatan ketua bahagian itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Naib Ketua Pemuda Umno Mohd Hairi Mad Shah dan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Yahya Jaafar.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/e9480b9036619f1d7eaec80f1fa3f585.jpg)
