Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri perlu maklumkan dulu jika mahu buat lawatan kerja ke Sarawak - Abang Jo
Diterbitkan:  Apr 1, 2023 8:06 PM
Dikemaskini: 12:06 PM

Menteri pusat yang ingin melakukan lawatan kerja ke Sarawak diminta memaklumkan hal tersebut kepada kerajaan negeri lebih awal, kata Abang Johari Openg.

Menurut Premier Sarawak itu, menteri juga perlu memberitahu setiap projek yang dirancang kementerian masing-masing di negeri terbabit.

Katanya peraturan berkenaan - selaras dengan saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim - dibuat bagi kemudahan kedua-dua pihak dan agar semua protokol dipatuhi.

"Pemakluman lebih awal itu juga bagi membolehkan kerajaan Sarawak mengatur dan menyelaras supaya lawatan mereka dapat dijalankan di kawasan yang tepat.

"Pegawai kerajaan Sarawak juga perlu mengetahui tujuan lawatan dan apa projek yang hendak dilaksanakan," katanya sepert dipetik BH Online hari ini.

Untuk rekod pada awal Jan lalu Putrajaya bersetuju menyerahkan kuasa menentukan sesebuah projek bernilai bawah RM50 juta kepada kerajaan Sarawak dan Sabah.

Mengumumkan perkara itu Anwar berkata walaupun ketika ini di kedua-dua negeri terbabit mempunyai Jabatan Kerja Raya sendiri, namun kata putus terlalu banyak dibuat oleh kerajaan pusat.

Pada masa sama kata Anwar, Sabah dan Sarawak diberikan peruntukan besar namun banyak projek tidak dapat dilaksanakan kerana kerenah pentadbiran yang memerlukan ia dirujuk ke Putrajaya.

"Justeru kerajaan memutuskan - dan Kementerian Kewangan bersetuju - bahawa mana-mana projek yang bernilai di bawah RM50 juta diserahkan sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan dengan mematuhi peraturan kewangan," katanya.

Lihat Komen
ADS