Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lawatan ke China bawa pulangan besar kepada negara - PM

Malaysia dan China bersetuju untuk memantapkan dan membawa hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi, dipacu dengan kerjasama lebih mendalam dan bermakna dalam pelbagai aspek.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerjasama strategik ini merangkumi antaranya bidang politik, perdagangan dan pelaburan.

Beliau turut menyifatkan lawatan rasmi sulungnya ke China sebagai satu pencapaian yang membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat Malaysia.

Menurut beliau tumpuan yang diberikan oleh pihak kerajaan dan pemimpin China serta sambutan daripada tokoh-tokoh perniagaan dan industri China terhadap lawatannya ini menunjukkan keakraban hubungan kedua-dua negara.

“Sambutan dan tumpuan yang diterima hebat dan luar biasa. Saya anggap ini satu perkembangan sangat positif. Kunjungan ini memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada media Malaysia dalam satu sidang akhbar di akhir lawatan rasmi beliau ke China malam ini.

Perdana Menteri berkata semasa pertemuan beliau dengan Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatan Li Qiang, kedua-dua pihak bersetuju untuk merancakkan hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) termasuk mempercepatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam projek usahasama, beliau berkata China bersetuju untuk menggunakan tenaga kerja mahir dan profesional tempatan berbanding amalan sebelumnya.

“Mereka bersetuju untuk menggunakan tenaga kerja tempatan. Hanya untuk bidang-bidang pengkhususan yang tidak terdapat di Malaysia, mereka akan bawa masuk dari China.

Ini akan terpakai ke atas semua projek-projek lain,” kata beliau.

Anwar berkata kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka bidang-bidang kerjasama baharu termasuk pembuatan kereta generasi baharu serta industri halal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS