Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Leonardo DiCaprio dedah Jho Low rancang biayai kempen Obama pada 2012

Pelakon Leonardo DiCaprio memberitahu mahkamah di Washington pada Isnin lalu bahawa pembiaya Malaysia Jho Low mendedahkan rancangannya untuk menyumbangkan sehingga $30 juta bagi membantu kempen pemilihan semula Presiden AS Barack Obama pada 2012 dalam apa yang didakwa oleh pendakwa raya sebagai sebahagian daripada operasi pengaruh asing yang menyalahi undang-undang.

"Ia adalah perbualan santai tentang parti mana yang dia sokong," kata DiCaprio ketika memberitahu juri bahawa Low bercadang memberikan "sumbangan yang signifikan" kepada Parti Demokrat sebanyak kira-kira AS$20 juta sehingga AS$30 juta. "

"Pada asasnya saya berkata, 'Wah, itu wang yang banyak,'" tambah DiCaprio.

Bintang "Titanic" itu menjadi saksi dalam perbicaraan terhadap Pras Michel dari kumpulan hip-hop The Fugees, yang menghadapi tuduhan jenayah kerana pembabitannya dalam kempen yang mempunyai pengaruh asing yang ditujukan kepada pentadbiran Obama dan Donald Trump.

Michel menafikan dakwaan tersebut.

DiCaprio adalah salah seorang daripada beberapa tokoh terkenal yang dikaitkan dengan Low, individu yang menghadapi pertuduhan jenayah kerana didakwa menggelapkan $4.5 bilion daripada dana kekayaan negara Malaysia, 1MDB.

Jho Low yang diketahui membayar selebriti Hollywood untuk berpesta dengannya, menyokong yayasan amal DiCaprio dan membantu membiayai filem tahun 2013 "The Wolf of Wall Street," di mana DiCaprio membintangi filem berkenaan dan dicalonkan untuk Anugerah Oscar.

Jabatan Kehakiman AS pada 2018 mencapai penyelesaian sivil dengan syarikat produksi filem itu, yang mana telah merampas $60 juta yang dipercayai dicuri daripada 1MDB.

Sejak itu, DiCaprio telah bekerjasama dengan kerajaan AS.

Dia berjaya menyelinap masuk ke mahkamah pada Isnin lalu tanpa dikesan oleh pemberita yang menunggu ketibaannya.

Pendakwa raya mendakwa Michel bersetuju menyalurkan wang daripada Low dalam kempen Obama pada 2012 dan menyembunyikan sumber dana berkenaan.

Undang-undang pilihan raya Amerika melarang orang asing daripada memberikan sumbangan kepada kempen AS.

Mereka berkata Low kemudian bekerja di belakang tabir dengan orang lain cuba memujuk pentadbiran Trump supaya berhenti menyiasatnya, dan juga bertindak sebagai ejen asing China untuk memujuk pentadbiran supaya bersetuju menghantar pulang pembangkang Guo Wengui.

DiCaprio pada Isnin lalu memberitahu juri dia mengenali Michel sejak 1990-an, ketika dia bertemu dengan The Fugees di belakang pentas.

Sebahagian besar keterangannya tertumpu pada hubungannya dengan Low, yang mengadakan parti mewah di atas kapal layar dan di kelab malam yang menampilkan bintang- bintang Hollywood.

DiCaprio berkata dia menaiki jet peribadi milik Low bersama sekumpulan yang lain pada malam tahun baru dan terbang antara Australia dan Las Vegas, kerana Low mahu menyambut Tahun Baru dua kali dalam satu malam.

Dia kemudiannya tertawa dalam mahkamah apabila peguam Michel bertanya kepadanya apakah Low dapat berbuat demikian.

"Ia bergantung kepada cara anda melihatnya," kata DiCaprio.

DiCaprio berkata apabila dia pertama kali bertemu Low sekitar 2010, dia melihatnya sebagai "semacam keajaiban dalam dunia perniagaan."

DiCaprio berkata pasukan guamannya sendiri, sebuah firma luar dan studio melakukan tiga kajian siasatan terperinci sebelum mencapai perjanjian dengan Low untuk membiayai "The Wolf of Wall Street".

"Saya diberikan lampu hijau dari pasukan saya, serta studio, untuk menerima pembiayaan dari Low," katanya.

- Reuters

Lihat Komen
ADS