Kerajaan digesa mengambil langkah proaktif untuk menangani isu yang dibangkitkan dalam laporan RimbaWatch bertajuk ‘State of Malaysian Rainforest 2023’.

Dalam satu kenyataan, Institut Rimbawan Malaysia (Irim) menggesa kerajaan merangka Strategi Konservasi Hutan Negara untuk mengelakkan sebarang kegiatan pencerobohan seperti aktiviti pembangunan, pembalakan dan perlombongan haram.

Irim juga mencadangkan kerajaan merangka instrumen kewangan yang inovatif melalui ‘Payment for Ecosystem Services (PES) untuk meningkatkan pendapatan dan membolehkan kerajaan engeri menjalankan usaha memulihkan alam sekitar dan mengehadkan pembukaan hutan ladang kepada tidak melebihi lime peratus.

"Kementerian juga perlu mengembalikan semula peranan Majlis Perhutanan Negara (MPN) agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai platform yang sesuai untuk membincangkan isu-isu semasa perhutanan negara," kata irim.

Majlis Perhutanan Negara ditubuhkan pada tahun 1972 untuk menyelaras pengurusan dan penggunaan sumber hutan.

Bagaimanapun, peranannya diambil alih oleh Majlis Tanah Negara pada tahun 2010.

Pada 20 Mac, RimbaWatch mengeluarkan laporan yang memberi amaran bahawa 2.34 juta hektar hutan di negara ini bakal musnah akibat pembersihan secara besar-besaran.

RimbaWatch mengunjurkan jumlah litupan hutan di Malaysia akan berkurangan kepada 47.35 peratus daripada jumlah keluasan tanah negara jika tiada tindakan diambil.

Rancangan Fizikal Negara Keempat yang diputuskan pada 2021 menetapkan matlamat 50 peratus litupan hutan menjelang 2040.

Pada tahun 1992, Malaysia secara sukarela telah berjanji kepada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan (Sidang Kemuncak Rio) untuk memastikan 50 peratus litupan hutan.

Kerajaan mendakwa 55 peratus daripada tanah Malaysia masih diliputi hutan.

Bagaimanapun, laporan khas Malaysiakini mengenai penebangan hutan dan hidupan liar minggu lepas mendedahkan bahawa sebahagian besar kawasan yang termasuk dalam data litupan hutan sebenarnya dianggap sebagai “hutan pengeluaran”.

Hutan pengeluaran ini adalah tertakluk kepada penebangan hutan melalui aktiviti seperti perlombongan, ladang hutan, pembalakan dan tujuan lain.