Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilik anjing di Sarawak perlu dapatkan lesen
Diterbitkan:  Apr 4, 2023 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Pemilik anjing di Sarawak perlu mendapatkan lesen haiwan peliharaan itu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau berdepan dengan hukuman denda, kata Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee.

Menurutnya, pemilik anjing yang ingkar boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 seperti diperuntukan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Kawalan Anjing 2018.

Di samping itu, katanya, pemilik digalakan mendapatkan lesen dan pemasangan cip mikro sebagai sebahagian daripada program pemvaksinan anjing secara besar-besaran.

“Setakat ini sebanyak 24,241 anjing berlesen didaftarkan di seluruh Sarawak dengan 2,104 anjing berlesen dipasang cip mikro.

“Sebaik sahaja kami bebas daripada penyakit rabies dan sekiranya anjing anda hilang atau diambil oleh PBT, kakitangan yang diberi kuasa akan mengimbas anjing itu untuk mendapatkan nombor cip mikro supaya maklumat pemilik diambil dari pusat data dan membolehkan mengenal pasti anjing serta pemiliknya,” kata Tiang dalam kenyataan di Kuching hari ini.

Sementara itu, Tiang berkata penyakit rabies masih berleluasa di Sarawak dan oleh itu semua anjing perlu diberi vaksin.

Dia berkata semua anjing mesti diberi vaksin setahun sekali, termasuk anak anjing yang berusia lebih empat bulan.

“Hanya dengan mencapai liputan 70 peratus daripada jumlah populasi anjing di Sarawak yang diberi vaksin, kita boleh berharap untuk memutuskan rantaian virus Rabies dan membendung penyakit itu,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS