Melaka larang bawa telefon ketika mesyuarat, bimbang rahsia kerajaan bocor
Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh membuat beberapa ketetapan baru dalam pentadbirannya termasuk larangan membawa telefon dalam mesyuarat kerajaan dipengerusikannya.
Ab Rauf berkata ia bagi memastikan kerahsiaan kerajaan terpelihara.
"Telefon bimbit adalah dilarang dibawa masuk terutamanya dalam mesyuarat terutama mesyuarat yang bertaraf rahsia/sulit yang dipengerusikan oleh ketua menteri Melaka.
"Ketetapan ini dibuat bagi memastikan kerahsiaan maklumat kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Ab Rauf berkata dia menggariskan beberapa ketetapan itu ketika mengadakan perjumpaan pertama saya bersama pegawai-pegawai kanan pentadbiran kerajaan negeri Melaka.
Pada 31 Mac lalu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai ketua menteri ke-13.
Majlis angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Adun Lendu Sulaiman Md Ali yang dilantik kali kedua sebagai ketua menteri pada 21 Nov 2021, melepaskan jawatannya
Istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan angkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah simpan rahsia ketua menteri berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam di Seri Negeri secara tertutup.
Selain itu Ab Rauf turut membuat beberapa ketetapan lain antaranya memulakan mesyuarat dengan bacaan surah al-Fatihah.
Setiap jabatan serta agensi kerajaan negeri perlu memperdengarkan bacaan surah al-Fatihah pada jam lapan pagi setiap hari bekerja Isnin hingga Jumaat.
Juga memperdengarkan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya pada jam 10 pagi setiap Isnin dan kakitangan kerajaan diarahkan berdiri untuk menghormati lagu berkenaan.
"Saya telah menggariskan beberapa perkara termasuk pendekatan baru yang wajar dipraktikkan bagi melancarkan lagi pentadbiran ini.
"Ketetapan baru ini juga adalah selari dengan penghayatan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam dan memupuk rasa kecintaan kepada negara dan bangsa," katanya.
Ab Rauf turut memaklumkan Pelaksanaan ketetapan baru itu berkuatkuasa semalam.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/5c8b321383988cb0849ab6bdadbba7c4.jpg)
