Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abdul Azeez kini jadi pengerusi Keda
Diterbitkan:  Apr 6, 2023 11:15 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik sebagai pengerusi baru Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Ahmad Zahid berkata pelantikan Abdul Azeez itu diharap dapat mengeratkan hubungan di antara Putrajaya dan kerajaan Kedah - yang kini ditadbir oleh PN.

"Peruntukan yang disediakan kepada Kedah (terutama) melalui KKDW dan juga Keda harus dilaksana (dengan sebaiknya) kerana prestasi bukan dinilai daripada output perbelanjaan (atau peratusannya), tetapi apakah outcome (ataupun) keberhasilan yang boleh dirasai rakyat, (yang mana) rakyat (boleh) nikmat (kesannya).

"(Hal ini kerana) kepuasan hati rakyat diukur bukan melalui berapa banyak projek tetapi manfaat yang diterima mereka," katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Keda merupakan satu daripada lima agensi di bawah seliaan KKDW yang bertujuan membangunkan ekonomi luar bandar dengan membangunkan usahawan di kawasan terbabit.

Ia menyediakan latihan dan mempunyai sedikit dana untuk membina infrastruktur. Keda juga mempunyai anak syarikat dalam industri hartanah dan hospitaliti.

Abdul Azeez kini merupakan timbalan pengerusi Umno Kedah dan merupakan ahli parlimen Baling selama dua penggal. Sebelum ini dia juga pernah diberi kepercayaan sebagai pengerusi Lembaga Tabung Haji.

Dalam PRU ke-15 pada Nov tahun lalu dia gagal mempertahankan kerusi Baling selepas kalah kepada Hassan Saad dari PAS/PN.

Sementara itu, Ahmad Zahid menzahirkan penghargaan kepada kesemua kerajaan negeri yang dipimpin PN terutama exco yang berada di bawah KKDW kerana sentiasa memenuhi jemputan bagi setiap mesyuarat yang diadakan.

Keadaan itu jelasnya akan mengeratkan jalinan di antara kerajaan negeri dan persekutuan walaupun kedua-duanya berbeza dalam politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS