Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berharap dua Adun PN dapat menyertai kerajaan perpaduan yang baru ditubuhkan di negeri itu sebelum enakmen antilompat parti dibentangkan pada sidang dewan undangan negeri (DUN) Julai ini.

Dia yang juga Pengerusi Umno Melaka berkata jika kedua-dua Adun berkenaan bersetuju menyertai kerajaan perpaduan di Melaka, ia bakal mencatat sejarah sebagai negeri pertama memiliki 'sifar' pembangkang.

"Saya berharap daripada 28 kerusi di dalam DUN, kita dah ada lebih 26 kerusi Adun kerajaan. Kita (BN) menang 21 kerusi, lima daripada blok PH iaitu empat DAP, satu Amanah.

"Jadi saya berharap dua Adun PN berkenaan, kalau ada hasrat untuk menyertai kerajaan perpaduan, kita sudi menerimanya.

"Saya adalah orang yang paling gembira kerana Melaka bakal muncul negeri pertama zero (sifar) pembangkang," katanya pada sidang media selepas mengumumkan barisan timbalan exco kerajaan negeri di Melaka malam ini.

Melaka mempunyai dua Adun pembangkang dari PN iaitu Dr Yadzil Yaakub (Bemban) dan Dr Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang).

Setakat ini, hanya tujuh negeri menguatkuasakan undang-undang lompat parti iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak.

- Bernama