Sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius oleh semua pihak kerana ia merupakan eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sekiranya terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ia perlu disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
"Pihak berkuasa boleh menggunakan peruntukan sedia ada di bawah akta itu untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Noor Hisham berkata perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi di negara ini melibatkan pendermaan organ daripada penderma - hidup atau penderma selepas kematian (kadaverik) - serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ sama ada buah pinggang, hepar, jantung atau paru-paru.
Katanya dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma kadaverik.
Dia berkata Malaysia juga menandatangani Deklarasi Istanbul mengenai Pemerdagangan Organ dan Pelancongan Transplan 2008 yang menyatakan bahawa organ untuk transplantasi haruslah diagihkan secara saksama kepada penerima sesuai, tanpa mengenal jantina, etnik, agama, status sosial atau kewangan.
Menurut Noor Hisham deklarasi itu menekankan amalan yang menyasarkan individu atau golongan miskin dan lemah sebagai penderma organ perlu dilarang kerana ia dilihat sebagai menggalakkan pemerdagangan organ, pelancongan transplan dan komersialisasi transplan.
Katanya bagi memperketat tadbir urus perkhidmatan transplantasi di negara ini, KKM menubuhkan jawatankuasa yang mengawal selia program pendermaan organ dalam kalangan penderma semasa hidup melibatkan pasangan bakal penderma dan penerima yang tidak mempunyai perkaitan kekeluargaan atau pasangan bakal penderma dan penerima bukan warganegara.
Menurutnya jawatankuasa itu menilai pelbagai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan, kesihatan mental dan tahap sosioekonomi semua permohonan pembedahan transplantasi bagi memastikan bakal penderma mempunyai sistem sokongan yang baik selepas pembedahan.
“Pembentukan tadbir urus perkhidmatan yang kemas sangat penting bagi melindungi hak bakal penderma dan memastikan pendermaan organ tidak melibatkan sebarang paksaan atau mempunyai unsur pemerdagangan.
"Konsisten dengan kewajipan negara dan antarabangsa, KKM tidak menyokong mana-mana individu atau organisasi yang terlibat di dalam aktiviti perolehan organ secara haram serta tidak beretika dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan," katanya.
Dia juga menasihati orang ramai yang berikrar sebagai penderma organ agar memaklumkan hasrat mereka kepada ahli keluarga bagi menjayakan perkhidmatan transplantasi beretika di negara ini.
- Bernama
