Pengundi Cina dan India masing-masing 20.9 peratus dan 28.3 peratus daripada jumlah pengundi di Ijok memainkan peranan penting dalam pilihanraya kecil dewan undangan negeri (DUN) bagi kerusi tersebut pada 28 April ini, kata DAP Selangor.

Berikutan itu, Pengerusinya, Ean Yong Hian Wah berkata, pihaknya akan memberi tumpuan khusus untuk menarik sokongan pengundi Cina dan India di Ijok.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, DAP Selangor menubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ronnie Liu untuk menyelaraskan tenaga kempen pilihanraya bagi membantu calon Parti Keadilan Rakyat.

Barisan Nasional (BN) telah menamakan setiausaha MIC bahagian Tanjung Karang K Parthiban, 38, sebagai calonnya manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) diwakili oleh bekas ketua pegawai eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Guthrie Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,

"DAP dan PKR perlu bekerjasama rapat di Ijok. DAP Selangor menyokong penuh calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim dan kita yakin beliau mampu membawa perubahan di Ijok," kata Ean.

Menurutnya, pilihanraya kecil Ijok juga akan mencerminkan trend pengundian para pemilih di Selangor dalam pilihanraya umum akan datang.

Penjelasan polis

"Oleh itu, kita akan bekerjasama rapat dalam kempen kali ini untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai pelbagai kesulitan yang dihadapi oleh negara," katanya.

Di samping itu, Ean juga menggesa pihak polis memberi penjelasan mengenai insiden di mana dua ahli DAP telah diserang oleh petugas BN sewaktu hari penamaan calon pilihanraya kecil Machap.

DAP juga, katanya, mahukan penjelasan mengenai laporan yang mendakwa ada pengundi di Machap disogok dengan wang oleh pihak BN.

Rakyat, kata Ean, menunggu laporan siasatan polis itu bagi mengelak kejadian yang sama berulang di Ijok.

"Kita berharap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengekalkan kebebasan dan integritinya dengan mengendalikan pilihanraya kecil ini secara adil, bebas dan paling telus dalam sejarah negara," katanya.