Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat dua individu rakam, sebar 'video intim' remaja

Polis sedang menyiasat dua individu yang merakam dan menerbitkan video tular 23 saat pasangan muda yang didakwa melakukan perlakuan tidak senonoh di dalam sebuah kereta di Johor.

Siasatan termasuk dakwaan bahawa lelaki itu menyamar sebagai anggota polis ketika mereka mendekati pasangan itu, kata Ketua Polis Daerah Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak.

"Pihak kami masih dalam siasatan mengenai dakwaan tersebut.

"Pihak kami juga menjalankan siasatan dari setiap sudut sebelum kertas siasatan dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan," kata Sohaimi melalui pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Ambil keterangan perakam video

Dia ditanya sekiranya polis juga sedang menyiasat orang di sebalik video tular itu, termasuk dakwaan bahawa mereka telah menyamar sebagai polis kepada pasangan itu, yang berusia 22 dan 17 tahun.

Menurut Sohaimi, polis telah memanggil orang yang didakwa bertanggungjawab merakam video itu bagi membantu siasatan.

Polis menjangkakan akan mencadangkan agar mereka didakwa di mahkamah, kata Sohaimi, tetapi tidak mengulas lanjut mengenai hal itu.

"Perakam video telah diambil keterangan.

"Kita akan cadangkan (kepada timbalan pendakwa raya) pertuduhan yang sesuai nanti," jelasnya.

Ditahan semalaman

Dilaporkan bahawa polis telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang gadis berusia 17 tahun pada 6 April lalu berhubung klip video yang menggambarkan mereka dalam keadaan intim di dalam kereta di tempat letak kereta di Johor.

Mohd Sohaimi Ishak sebelum ini berkata, dakwaan kejadian dalam video itu dipercayai berlaku pada 3.03 petang pada 29 Mac lalu, di sebuah tempat letak kereta di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Pasangan itu ditahan semalaman dan polis memperoleh perintah reman dua hari pada 7 April untuk menyiasat mereka mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana "kelakuan tidak senonoh".

Bagaimanapun, menurut Oriental Daily, pasangan itu dibebaskan pada petang 7 April.

Mereka kemudiannya menghubungi Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah (gambar, atas) yang juga seorang peguam untuk mendapatkan bantuan, mendakwa mereka diugut oleh orang yang menyamar sebagai anggota polis.

Dalam satu kenyataan semalam, Puah berkata lelaki terbabit didakwa mengancam pasangan itu dan meminta kad pengenalan mereka.

Kata Puah, dia telah menemui pasangan kekasih itu serta menawarkan nasihat dan bantuan guaman secara percuma kepada mereka.

"Selain daripada insiden tersebut, kita juga dimaklum bahawa pihak yang merakam video tersebut telah menyamar sebagai anggota polis.

"Pihak perakam juga cuba meminta IC daripada pasangan dan bila mereka enggan mengikut arahan, mereka diugut oleh pihak perakam. Mereka pun cuba melarikan diri, tetapi dikejar oleh pihak perakam sehingga mereka tiba di Balai Polis Pasir Putih,” kata Puah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS