Kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia sedia berunding dengan China mengenai pertindihan lokasi cari gali petroleum oleh Petronas bukan bermakna mengiktiraf zon ekonomi eksklusif (ZEE) itu milik negara tembok besar berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohammad Agus Yusoff, berkata perdana menteri menyuarakan perkara itu kerana China membuat tuntutan yang sama.

"Kenyataan perdana menteri bukan mengiktiraf kawasan ZEE itu milik China, tetapi mempertahankan kawasan itu sebagai kawasan milik negara kita di meja rundingan.

"Perdana menteri menyuarakan hal tersebut kepada kerajaan China setelah China juga menyatakan mereka menuntut kawasan yang sama.

"Kenyataan perdana menteri itu dimanipulasi oleh pembangkang sebagai menjual kedaulatan negara, dan menyerang perdana menteri dengan mengatakan kenyataan perdana menteri itu sebagai suatu tindakan yang mengguris hati rakyat.

“Mereka juga menganggap perdana menteri kita tidak layak memimpin negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 5 April lalu, Anwar berkata tiada penyelesaian mudah bagi tuntutan bertindih wilayah di Laut China Selatan tetapi masalah itu bukanlah satu yang tidak dapat diatasi selagi ada ruang dialog.

Anwar berkata demikian dalam temu bual dengan China Daily, semasa lawatannya ke China baru-baru ini.

Dalam temu bual dengan syarikat media berbahasa Inggeris terbesar di China itu dan diterbitkan pada Selasa (4 April), Anwar menegaskan isu Laut China Selatan tidak seharusnya menjadi "isu besar" dan dialog dengan negara-negara Asean lain yang turut menuntut hasil sumber laut itu harus dilihat sebagai jalan penyelesaian.

“Saya telah menyatakan bahawa kita mempunyai potensi minyak dan gas di kawasan itu dan kita perlu meneruskan tuntutan di kawasan itu tetapi pihak China mahu membincangkannya, jadi kita berbincang," katanya seperti dilaporkan.

Dalam pada itu, Mohammad Agus berkata manipulasi kenyataan Anwar berhubung isu berkenaan membuatkannya dikecam oleh kelompok pihak yang tidak memahami situasi berkenaan.

Katanya, tidak salah bagi perdana menteri mempertahankan wilayah Malaysia melalui meja perundingan kerana ia sangat penting untuk menyelesaikan konflik secara aman dan konstruktif, terutamanya dengan kuasa besar seperti China.

"Dua nasihat saya. Pertama, jika pun kita berbeza politik kepartian, janganlah bermain dengan isu kedaulatan negara. Menuduh perdana menteri hendak menjual kedaulatan negara adalah tidak bertanggungjawab, tidak beretika, dan tidak bermoral.

"Kedua, berpolitiklah dengan fakta. Perdana menteri dan semua kita mahukan yang terbaik untuk negara. Tidak puas hati dengan keputusan perdana menteri, tegur dan kritiklah secara berhemah," katanya lagi.

Jelasnya, dalam kehidupan bernegara tanggungjawab utama adalah membawa naratif yang betul kepada masyarakat.