Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PMO adakan taklimat Mitra bincang isu pembangunan masyarakat India

Pejabat Perdana Menteri (PMO) akan mengadakan sesi taklimat Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) pada 13 April di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Taklimat ini dipengerusikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai akan membincangkan isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Ketika dihubungi, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran mengesahkan sesi taklimat tersebut.

"Saya mengalu-alukan langkah PMO untuk menjemput ahli parlimen India untuk taklimat khas mengenai Mitra. Kami telah lama menunggu pertemuan ini dan lebih baik lewat daripada tidak diadakan sama sekali.

"Perbincangan utama adalah mengenai status sosioekonomi masyarakat India tetapi saya ingin mengemukakan beberapa perkara mengenai Mitra," katanya.

M Kulasegaran

Katanya, ketua Pengarah Mitra mesti menjelaskan sebab-sebab mengapa dana, serta peruntukan terdahulu berjumlah kira-kira RM250 juta, tidak digunakan untuk kebaikan masyarakat.

"Kita ingin tahu bagaimana peruntukan RM100 juta dalam bajet semasa akan diagihkan menjelang Oktober 2023.

"Kita telah mendengar tentang salah laku dan amalan rasuah yang membawa kepada tuduhan rasuah semasa pentadbiran lalu kerana menyalahgunakan peruntukan Mitra. “Apakah status penyiasatan ini dan apakah yang boleh dilakukan? 

“Terdapat ramai ahli politik dikatakan dalam radar untuk kemungkinan perbuatan rasuah yang masih bebas tanpa sebarang siasatan dan atau pertuduhan," katanya.

Sebelum ini, Kulasegaran menyatakan rasa kesal selepas sesi perbincangan hala tuju Mitra ditangguhkan atas alasan perlu mendapatkan kelulusan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mitra, yang dilancarkan pada 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak, pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic).

Ia dilancarkan dengan tujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Sedic dibubarkan apabila kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14 dan kemudiannya dihidupkan semula sebagai Mitra bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Selepas kerajaan PH tumbang, Mitra diletakkan bawah Kementerian Perpaduan.

Pada awal 2021, isu dana Mitra menjadi tumpuan berikutan dakwaan salah guna peruntukan melibatkan beratus juta ringgit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS