Mengulas kekecewaan sesetengah pihak terhadap keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan calon Melayu dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Naib Presidennya, R Sivarasa berkata, terdapat perbezaan antara 'majmuk sebenar' dalam PKR dengan 'pemetakan kaum' yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).

Oleh itu, katanya, mereka yang kecewa dengan pemilihan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana merasakan Datuk KS Nallakaruppan sepatutnya bertanding 'di kerusi tradisi MIC' itu, mungkin telah 'terperangkap' dengan 'pemetakan palsu' itu.

"BN telah mengurungkan kita dalam petak palsu itu. Dalam politik, itu telah diterjemahkan sebagai 'ini kawasan MCA bagi kaum Cina, itu kawasan MIC bagi kaum India'. Mereka cuba mengurungkan kita dalam pemetakan tersebut," katanya dalam temubual dengan malaysiakini di kediamannya semalam.

"Kita akan cuba memecahkannya," tambah beliau.

Beberapa pihak dari dalam dan luar PKR mendakwa matlamat sempit untuk memenangi pilihanraya kecil Ijok dengan memberi tumpuan kepada pengundi majoriti Melayu di DUN tersebut, menyebabkan masyarakat India di situ telah dipinggirkan oleh parti tersebut.

Walaupun lebih separuh daripada pengundi di Ijok adalah Melayu, tetapi jumlah pengundi India 28 peratus adalah yang kedua teramai di Selangor.

Pada mulanya wujud ancaman untuk memboikot kempen PKR di Ijok, malah seorang bekas ahli PKR telah mengecamkan penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya 'cakap tak serupa bikin'. Dia juga mendakwa BN lebih adil daripada PKR, dalam melayan masyarakat India.

Perjuangan yang konsisten

Sivarasa berkata, kepelbagaian kaum yang tulen, wujud dalam parti yang memperjuangkan secara konsisten layanan dan peluang saksama bagi semua kaum, dan ia telah diamalkan oleh PKR sejak penubuhannya semasa era reformasi.

Beliau berkata, kejayaan BN sebagai sebuah kerajaan campuran adalah menerusi pembahagian kerusi dan formulanya mengenai kaum 'yang menyatukan' mereka selama ini.

"Tetapi bagi saya, dan bagi sebahagian besar rakyat dan sebahagian besar kaum India, pada realitinya, tidak wujud kepelbagaian kaum yang tulen (hasil daripada formula BN itu).

"Wujud perkongsian kerusi, tetapi itu saja. Ia tidak diterjemahkan kepada kepelbagaian kaum yang tulen dari segi kesaksamaan hak, perkongsian saksama kekayaan negara dan semua isu-isu (lain) yang dibangkitkan oleh kaum minoriti," tambahnya.

Komitmen PKR terhadap kepelbagaian kaum, kata Sivarasa, harus diukur secara asasnya melalui kedudukan politiknya dan pendiriannya terhadap isu-isu tindakan afirmatif dan keadilan saksama, tanpa mengira kaum.

"Bagi saya, itulah politik majmuk (tulen)," tambahnya.

Sivarasa juga berkata, signifikan pilihanraya kecil Ijok kepada PKR adalah impaknya terhadap pilihanraya umum akan datang.

Pemilihan Khalid

Oleh itu, katanya, kriteria penting dalam penentuan calon dalam pilihanraya kecil tersebut ialah peluang untuk menang.

Mengenai anggapan bahawa kredibiliti PKR dan sokongan jangka panjang masyarakat India terhadap parti itu akan terjejas ekoran pemilihan Khalid sebagai calon di Ijok, Sivarasa berkata, realitinya adalah sebaliknya.

"Banyak maklumbalas yang diterima dari masyarakat India (di Ijok) menunjukkan mereka gembira dengan pemilihan Khalid sebagai calon," katanya.

Lebih menarik lagi, tambah Sivarasa, para pemimpin MIC juga berkata mereka mengharapkan PKR meletakkan calon India di Ijok.

"Jadi anda dapat lihat bahawa lawan kita (yang berkata demikian) dan, tentunya, lawan kita mahu calon yang mudah dikalahkan," katanya.

Oleh itu, katanya, pihak lawan mahukan PKR meletakkan calon India kerana peluang untuk mereka (pihak lawan) menang adalah lebih besar.

"Jadi, saya rasa (dengan Tan Sri Khalid yang bertanding), mereka kini dalam keadaan tertekan," tambah Sivarasa. Berita asal

Q&A: Multiracial Politics 101