BN ada formula untuk menang di Ijok, kata Muhd Taib
Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib yakin calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban akan menang dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April ini.
Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib yakin calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban akan menang dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April ini.
"BN ada formula untuk menang kerana pengundi sudah melihat sejarah BN memajukan Malaysia, Selangor dan Ijok sejak 50 tahun lalu.
"Pengundi Ijok akan memilih kerajaan yang boleh membawa keamanan, kemakmuran dan rekod yang ditunjukkan oleh BN selama ini," kata Muhd Taib yang juga Ketua Penerangan Umno Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertandingan satu lawan satu antara calon BN, K Parthiban dengan calon pembangkang, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pilihanraya kecil DUN Ijok pada 28 April ini.
Parthiban merupakan setiausaha MIC Kuala Selangor manakala Khalid adalah bendahari agung Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Muhd Taib berkata, walaupun faktor calon penting untuk menentukan menang kalah, tetapi rakyat percaya BN lebih baik daripada parti pembangkang.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata, kerusi Ijok tidak pernah dimenangi pembangkang dan ia menunjukkan pengundi menyokong penuh BN.
'Calon yang sesuai'
Parthiban, katanya, merupakan orang muda yang menepati ciri-ciri untuk menjadi wakil rakyat yang baik seperti yang dikehendaki oleh pengundi Ijok.
"Bayangkan beliau sudah berumur 38 tahun tetapi masih belum berkahwin kerana mahu bertanggungjawab kepada empat adiknya. Saya percaya beliau akan melakukan perkara yang sama kepada pengundi Ijok nanti," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub, ketika diminta mengulas peluang Khalid dalam pilihanraya kecil Ijok berkata: "Peluangnya 50-50" .
"Tetapi saya bimbang dengan pengundi hantu kerana ia berlaku dalam setiapkali pilihanraya kecil yang lalu," katanya.
Beliau berkata, sokongan pengundi kepada calon PKR, khususnya di kalangan orang Melayu, baik sekali sejak pembebasan penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2004.
Naib Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa pula berkata, melihat kepada sokongan dan 'mood' pengundi pada hari penamaan calon hari ini, peluang Khalid untuk menang adalah cerah walaupun Ijok merupakan kubu tradisi BN.

