Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

Pertemuan tersebut berlangsung kira-kira tiga minggu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan usul supaya Ahmad meneruskan segera rundingan dengan Anwar bagi mengembalikan hak royalti minyak.

Melalui hantaran di Facebooknya hari ini, Ahmad menggambarkan pertemuan dengan Anwar itu berlangsung dalam suasana "penuh mesra" dan memberi harapan buat Kelantan.

“Kunjungan hormat penuh mesra tersebut antara lain membincangkan pelbagai perkara khususnya berkenaan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri yakin pertemuan pada hari ini akan menghasilkan kebaikan kepada Kelantan selaras dengan semangat persekutuan demi kepentingan rakyat,” kata Ahmad.

Dia turut mengiringi perkongsian tersebut dengan gambar pertemuan mereka.

Bagaimanapun perkongsian itu tidak menyatakan secara jelas apakah perkara yang dibincangkan, dan sama ada isu royalti petroleum dibangkitkan atau tidak seperti mana usul DUN sebelum ini.

Pada 21 Mac lalu DUN Kelantan meluluskan usul supaya Ahmad meneruskan rundingan dengan perdana menteri dalam kadar segera bagi mengembalikan hak royalti minyak.

Usul itu dikemukan Hassan Mohamood (PN-Tawang) dan dipersetujui sebulat suara oleh semua Adun sebelum diterima tanpa dibahaskan.

Hassan dalam ucapannya membawa usul tersebut berkata, langkah berkenaan dicadangkan berikutan jawapan Menteri di Jabatan perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Parlimen) Azalina Othman Said yang menyatakan bayaran tunai petroleum adalah terhad dalam perairan tiga batu nautika sahaja.

Katanya, DUN Kelantan menolak untuk meratifikasikan Akta Laut dan Wilayah 2012 dan Akta 750 pada 5 Nov 2015.

Terdahulu Azalina dilaporkan berkata Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Sebagai rekod Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani di antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.

"Namun, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Kelantan dan Terengganu," katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.