'Perbahasan laporan Suhakam bergantung ketetapan Dewan Rakyat'
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata perbahasan mengenai laporan tahunan Suhakam adalah bergantung kepada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Azalina berkata kerajaan komited untuk memastikan laporan itu dapat dibentangkan di parlimen mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
"Perbahasan Laporan ini adalah bergantung kepada ketetapan Dewan.
“Justeru itu, perbahasan terhadap laporan ini boleh dibuat berdasarkan peraturan-peraturan mesyuarat sedia ada,” katanya dalam jawapan bertulis parlimen bagi menjawab soalan Hassan karim ( PH- Pasir Gudang).
terdahulu, Hassan bertanya adakah kerajaan bercadang untuk memastikan laporan itu bukan sahaja dibentangkan di parlimen tetapi juga dibahaskan.
Selaras dengan Seksyen 21 Akta Suhakam, badan berkanun itu dikehendaki membentangkan laporan tahunan kepada parlimen mengenai semua aktivitinya sepanjang tahun.
Sebelum ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengentikan pembentangan laporan Suhakam di parlimen pada 2020.
Laporan berkenaan dibahaskan di parlimen buat kali pertama pada tahun terswbut tetapi pada tahun berikutnya, kerajaan PN ketika itu berkata ia tidak bercadang untuk meneruskan langkah berkenaan.
Pada Disember tahun lepas, Ketua Pesuruhjaya Suhakam, Rahmat Mohamad menggesa kerajaan membentang dan membahaskan laporan tahunan mereka di parlimen.
Menurutnya laporan itu perlu dibentangkan di Dewan Rakyat agar kesemua 222 ahli parlimen sedar mengenai isu hak asasi manusia dan mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, isu seperti rakyat yang tidak memililiki kewarganegaraan dan penjara yang sempit perlu dibahaskan supaya laporan itu tidak ‘disimpan di perpustakaan'.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/99f58db2a873b28fef3d37f5824d8ce8.jpg)
