Penamaan calon: Penyokong pembangkang laung 'Altantuya' dan 'Mongolia'
Sepanjang proses penamaan calon bagi pilihanraya kecil Ijok yang bermula jam 9 pagi dan selesai tengah hari tadi, penyokong parti pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP melaung-laungkan perkataan 'Altantuya' dan 'Mongolia'.
Sepanjang proses penamaan calon bagi pilihanraya kecil Ijok yang bermula jam 9 pagi dan selesai tengah hari tadi, penyokong parti pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP melaung-laungkan perkataan 'Altantuya' dan 'Mongolia'.
Ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon selesai hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan menjawab, mengikut lunas undang-undang, segala dakwaan oleh pembangkang, termasuk yang cuba mengaitkannya dengan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Malahan, menurut laporan Bernama, Timbalan Perdana Menteri, beliau sudahpun mula menjawab isu itu.
"Saya akan jawab soalan-soalan yang ditimbulkan... Saya dah mula jawab malam tadi," katanya apabila ditanya pemberita mengenai serangan peribadi penyokong pembangkang di luar pusat penamaan calon pilihanraya kecil Ijok hari ini.
Perbicaraan berhubung pembunuhan Altantuya yang melibatkan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, akan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam Jun depan.
Abdul Razak dituduh bersubahat membunuh model sambilan berusia 28 tahun itu bersama dua anggota polis di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober 2006.
Kes Altantuya
Malam tadi, ketika melancarkan jentera Barisan Nasional untuk pilihanraya kecil itu, Najib menyelar pembangkang yang gemar menggunakan strategi serangan peribadi dengan membuat tuduhan melulu termasuk mengaitkan dirinya dengan kes Altantuya.
Ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon selesai hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau akan membuat apa yang perlu di sisi undang-undang.
Katanya, apa yang penting ialah untuk membiarkan proses undang-undang yang sedang berjalan sekarang berlangsung tanpa diganggu.
Najib menyifatkan perbuatan pembangkang itu sebagai serangan peribadi tetapi yakin pengundi Ijok akan menolak tohmahan ini.
"Guna (isu yang sama) di sini, sama seperti di Machap (ketika pilihan raya kecil di situ baru-baru ini), (tetapi) orang Machap tak terima," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menimbulkan tohmahan itu, Najib berkata beliau sememangnya mempunyai pilihan itu.

