Laporan siasatan akhir nahas pesawat Sabah Air yang mengorbankan ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens kini dikelaskan sebagai dokumen terbuka dan boleh diakses di laman web Kementerian Pengangkutan bermula hari ini.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dia mengelaskan semula laporan tersebut sebagai dokumen terbuka dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan melalui Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

Loke berkata proses untuk menyah klasifikasi laporan tersebut selesai pada 6 April lalu selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan laporan tragedi - yang turut digelar Double Six itu - dinyah klasifikasi pada 5 April.

“Mulai hari ini, laporan lengkap tersebut dapat dimuat turun dari laman web rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia di: https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Loke laporan siasatan akhir kemalangan udara Nomad N22B 9M-ATZ disiapkan pada 25 Jan 1977 dan dibentangkan ke kabinet pada Mac 1977.

“Namun begitu, hasil siasatan laporan tersebut tidak pernah diumumkan.

“Oleh yang demikian, selama hampir 47 tahun ahli keluarga mangsa-mangsa yang terlibat tidak dapat mengetahui fakta dan sebab di sebalik nahas kemalangan udara tersebut,” katanya.

Sebanyak 11 orang terkorban dalam itu termasuk barisan pimpinan kanan kerajaan Sabah ketika itu iaitu Fuad; Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah) dan Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).

Turut terkorban ialah Darius Binion (pembantu menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah); Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah); Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (setiausaha sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).

Selain itu, turut terkorban ialah Koperal Said Mohammad (pengawal peribadi Ketua Menteri Sabah); Johari Fuad Stephens (anak ketua menteri) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ).

Loke berkata setiap insiden penerbangan haruslah disiasat secara telus dan menyeluruh untuk menerap kepercayaan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia membina sebuah industri penerbangan yang berkredibiliti serta menepati piawian tertinggi.

“Kementerian Pengangkutan komited untuk meneruskan dasar keterbukaan ini,” katanya yang turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan waris mangsa.

Anwar pada 5 April lepas berkata keputusan mendedahkan laporan akhir tragedi Double Six itu dibuat selepas mengambil kira tuntutan keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian berkenaan.

Dalam kejadian tersebut, pesawat udara Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang dikendalikan Sabah Air membawa rombongan berkenaan dalam perjalanan dari Labuan sebelum terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

Pada 8 Mac lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk menyah klasifikasi insiden tersebut.

- Bernama