Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin digesa teliti latar belakang Lina sebelum buat kenyataan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail digesa meneliti latar belakang pesakit kanser yang MyKadnya dirampas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai status kerakyatan wanita itu.

Ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) Agnes Padan membidas Saifuddin yang sebelum ini berkata JPN mendapati wanita berusia 65 tahun itu, Lina Samuel, adalah warganegara Indonesia.

“Bagaimana dia boleh mendakwa dia (Lina) dilahirkan di Indonesia?

“Saifuddin (gambar atas) sepatutnya meneliti perkara ini (latar belakangnya) sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa dia adalah warga Indonesia dan bukan rakyat Malaysia,” kata Agnes kepada Malaysiakini.

Pada 9 April, Malaysiakini melaporkan bahawa MyKad Lina telah dirampas oleh JPN.

Lina yang menetap di Lawas, Sarawak menjelaskan kejadian itu berlaku selepas dia melawat pejabat JPN daerah untuk menukar alamat pada kad pengenalannya supaya dapat mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Dia menghidap kanser usus dan tanpa MyKad, dia tidak dapat menerima rawatan untuk penyakitnya.

Agnes Padan

JPN sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa siasatan berhubung perkara itu masih berjalan dan ia masih belum bertemu Lina.

‘Masih warganegara Malaysia’

“Lina dilahirkan pada 1957 sebelum Malaysia ditubuhkan. Pada masa itu, tiada keperluan untuk mendaftar kelahiran (di Sarawak),” kata Agnes.

Menurut anak perempuan Lina, wanita warga emas itu tidak ingat tempat dia dilahirkan secara rasmi kerana ibu bapanya meninggal dunia ketika dia masih kecil dan dia kehilangan sijil kelahiran apabila dia berpindah ke Lawas pada usia belasan tahun.

Bagaimanapun, anak perempuannya memberitahu Malaysiakini bahawa sebelum berpindah, Lina tinggal di Kampung Long Sui - kira-kira 18km dari Lawas - sejak dia masih bayi.

Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek bersetuju pandangan itu, dengan mengatakan bahawa keadaan Lina adalah di bawah Bahagian 1 Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1957.

Bahagian 1 menetapkan bahawa orang yang lahir selepas Hari Malaysia (16 Sept 1963) adalah warganegara mengikut undang-undang. Peraturan ini juga diperluaskan kepada sesiapa yang lahir dalam Persekutuan Malaysia selepas Hari Merdeka dan sebelum Oktober 1962.

“Setakat ini, dia masih warganegara Malaysia.

“Apa pun, di manakah bukti dia adalah warganegara Indonesia? Menteri dalam negeri dan JPN tidak boleh begitu sahaja membuat tuntutan untuk melucutkan kewarganegaraannya,” kata Zaid kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Zaid mengecam JPN kerana merampas MyKad wanita itu, dengan alasan agensi kerajaan itu tidak mempunyai kuasa untuk merampas kad pengenalan seseorang.

Dia menyifatkan perbuatan itu sebagai "tidak berperlembagaan" dan membidas Saifuddin kerana tidak memastikan JPN mematuhi undang-undang.

Akses terhad

Sementara itu, Agnes menyenaraikan beberapa faktor yang menurutnya wajar dipertimbangkan oleh Saifuddin sebelum membuat kenyataan mengenai kewarganegaraan Lina.

Dia berkata, ramai daripada masyarakat Lun Bawang, tempat tinggal Lina, di Lawas mempunyai akses terhad kepada pendidikan dan kebanyakan mereka adalah petani.

Selain itu, menurut Agnes, penduduk asli Borneo yang dilahirkan sebelum Hari Malaysia kebanyakannya hanya bercakap dalam satu bahasa saja.

Untuk konteks, Lina tidak berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Malaysia. Dia bercakap dalam dialek Lun Bawang dan sering bergantung kepada anak-anaknya atau Agnes untuk terjemahan.

Tambahan pula, Lawas, berdasarkan lokasi geografinya, terputus dari seluruh rangkaian jalan raya Sarawak.

“Saya harap Saifuddin akan melawat Lawas untuk memahami kesusahan sebenar.

"Seingat saya, kami tidak pernah mempunyai pegawai tinggi di JPN daerah untuk membantu menyelesaikan isu ini," kata Agnes.

Lihat Komen
ADS