Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Laporan siasatan nahas Double Six tidak sepatut dirahsiakan'
Diterbitkan:  Apr 13, 2023 3:16 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata bahawa kerajaan persekutuan dan negeri perlu mengambil pengajaran daripada kesilapan klasifikasikan rahsia rasmi terhadap laporan siasatan nahas Double-Six selama 47 tahun.

Lim berkata keputusan kerajaan 47 tahun lalu terhadap nanas pada 6 Jun 1976 itu telah menimbulkan pelbagai teori konspirasi politik.

“Ini memandangkan penerbitan laporan ini mendedahkan bahawa tidak ada unsur keselamatan awam untuk menjadi alasan kerahsiaan laporan ini selama hampir lima dekad.

"Perkara ini menjadi pengajaran kepada kerajaan hari ini, sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, untuk mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti sebagai prinsip tadbir urus baik pada setiap masa untuk mendapatkan keyakinan orang awam,” katanya.

Dia berkata demikian susulan keputusan kerajaan mendedahkan laporan akhir siasatan nahas pesawat pada 1976 yang meragut 11 nyawa, termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens, bersama dengan tiga menteri negeri, dan tujuh penumpang lain.

Mendapati tiada unsur sabotaj, menurut dapatan itu juga, pemeriksaan ke atas serpihan pesawat udara terbabit menunjukkan enjin masih berkuasa semasa nahas, manakala kawalan pesawat berfungsi.

Tiada juga tanda-tanda kebakaran atau letupan dikesan.

Proses nyah klasifikasi laporan itu selesai pada 6 April lalu dan boleh dimuat turun di laman rasmi Kementerian Pengangkutan.

Kemalangan itu sebelum ini mencetuskan teori konspirasi memandangkan ia berlaku hanya 53 hari selepas Fuad menggantikan ketua menteri sebelum itu Mustapha Harun.

Ramai rakyat Sabah yang percaya ada tangan-tangan lain di sebalik apa yang berlaku dan mengaitkannya dengan pihak berkuasa persekutuan.

Ketika itu, Fuad baru sahaja meraikan kemenangan besarnya ke atas seteru politiknya, Mustapha dengan parti Berjaya yang baru ditubuhkan - ketika ketegangan memuncak di antara Mustapha dan kerajaan persekutuan.

Berkaitan:
PANDUANKINI l Apa natijah pendedahan siasatan nahas pesawat Sabah Air


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS