Cadangan untuk menarik balik pengharaman buku The Golden Son of the Kadazan yang mengisahkan kehidupan dan kerjaya bekas menteri Sabah Peter J Mojuntin, telah dikemukakan kepada kerajaan persekutuan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick berkata cadangan berkenaan dibentangkan dalam dalam mesyuarat kabinet untuk dipertimbangkan kelmarin.

Ia berlaku selepas keluarga Mojuntin memohon kepada Putrajaya agar menarik balik larangan ke atas buku itu.

“Saya percaya Menteri Dalam Negeri akan memberikan maklum balas mengenai perkara ini dalam mesyuarat kabinet akan datang,” katanya dipetik The Star hari ini.

Baru-baru ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata laporan penuh tragdei pesawat udara itu akan didedahkan kepada umum. Anak sulung mendiang Mojuntin - Donald Mojuntin - kemudian menggesa Putrajaya untuk membenarkan buku itu ditawarkan kepada umum.

Nahas maut itu - digelar tragedi Double Six - berlaku pada 6 Jun 1976 dan meragut 11 nyawa termasuk Mojuntin yang merupakan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Sabah ketika itu.

Mangsa berprofil paling tinggi dalam kemalangan itu ialah Fuad Stephens yang baru kembali ke jawatan sebagai ketua menteri Sabah selepas sedekad.

Tersedia di dalam talian

Terdapat ramai lagi nama besar dalam kalangan yang terbunuh, termasuk menteri negeri Salleh Sulong dan Chong Thien Vun, serta anak sulung Fuad, Johari Stephens.

Pada 5 April, Donald menyatakan harapan agar kerajaan menarik balik larangan penerbitan dan pengedaran The Golden Son of the Kadazan.

“(Ini adalah) buku yang memberikan gambaran kepada kita mengenai Peter sebagai pemimpin yang dihormati dalam politik Sabah.

“Kami tidak tahu apa-apa justifikasi yang munasabah dalam mengharamkan buku itu dan kami tidak diberi penjelasan yang munasabah untuknya.

"Kami memohon perdana menteri kami yang paling dihormati dan kabinetnya untuk terus melakukan perkara yang betul," katanya kepada The Star.

Buku itu ditulis oleh ahli politik dan pengarang mendiang Bernard Sta Maria tetapi diharamkan pada 22 Jun 1978 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Walaupun ISA dimansuhkan pada 2012, larangan ke atas buku itu tetap terpakai kerana kerajaan ketika itu percaya ia masih menimbulkan ancaman kepada kepentingan dan keselamatan negara.

Pada 2015, menteri dalam negeri ketika itu Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata bahawa buku itu diharamkan kerana ia mengandungi "kritikan melampau terhadap kerajaan persekutuan, termasuk dakwaan bahawa kerajaan membuat keputusan tergesa-gesa di negeri ini".

Menteri terbabit juga mendakwa buku itu "cenderung ke arah menimbulkan pergeseran dan konflik di kalangan rakyat Malaysia, khususnya orang Islam dan Kristian."

Di sebalik larangan itu, buku itu, yang turut menyentuh mengenai nahas pesawat, boleh didapati dalam talian dan kandungan penuhnya boleh dimuat turun di perkhidmatan e-buku dan buku audio Scribd.