Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan bahawa kementerian itu terlebih belanja untuk subsidi minyak masak tahun lepas.

KPDN menjelaskan perbelanjaan untuk komoditi itu hanya antara 88 peratus dan 99 peratus daripada kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan sebulan.

“Semua perbelanjaan tidak melebihi had yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, atas tujuan operasi, kementerian itu berkata kerajaan perlu meluluskan kuota tambahan bagi memastikan bekalan minyak masak paket mencukupi di pasaran.

“Ini kerana setiap bulan syarikat-syarikat pembungkus tidak dapat menggunakan kuota yang diagihkan sepenuhnya kerana terdapat keadaan syarikat tidak beroperasi, penutupan kilang, kerosakan mesin atau digantung kuota akibat kerana disyaki melakukan kesalahan.

“Kuota yang tidak digunakan akan dirasionalisasi untuk diagihkan kepada pengusaha yang lain bagi menampung kekurangan tersebut.

“Namun, kuota tambahan ini tidak menyebabkan perbelanjaan melebihi had yang ditetapkan,” katanya.

Siasatan

Malaysiakini sebelum ini melaporkan sumber sebagai berkata bahawa kerajaan didakwa telah berbelanja berlebihan untuk subsidi minyak masak tahun lepas, menyebabkan siasatan dijalankan.

Difahamkan ketua setiausaha kementerian itu, Azman Mohd Yusof meluluskan subsidi berjumlah kira-kira RM9 juta kepada lebih 20 syarikat walaupun kuota tersebut telah digunakan.

Berdasarkan surat yang dilihat oleh Malaysiakini, pejabat Azman memberi kelulusan kepada dua daripada syarikat ini pada 21 Nov tahun lepas.

Surat itu menyebut kerajaan akan membekalkan dua syarikat itu dengan 150 tan minyak masak bersubsidi sebulan selama lima tahun, menurut permohonan yang mereka buat pada April tahun itu.

Surat-surat itu juga menunjukkan kedua-dua syarikat itu berkongsi alamat yang sama di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, pilihan raya umum ke-15 diadakan pada 19 Nov tahun lalu.

Bagaimanapun Anwar Ibrahim belum lagi mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri sehingga 24 Nov. Seramai 28 anggota kabinet mengangkat sumpah pada 2 Dis.

Kementerian itu yang sebelum itu dikenali sebagai KPDNHEP turut dinamakan semula kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di bawah menterinya Salahuddin Ayub.

Berdasarkan dokumen yang dilihat seperti dokumen KPDNHEP, pegawai kementerian berkenaan mencadangkan untuk mengurangkan subsidi beberapa syarikat pada tahun ini bagi menampung kekurangan minyak masak disebabkan oleh perbelanjaan berlebihan.

Satu lagi sumber mendakwa SPRM memanggil beberapa pegawai kementerian termasuk Azman untuk disoal siasat.

Setakat laporan ini ditulis, usaha untuk mendapatkan respons daripada Azman dan SPRM masih belum berjaya.

Bagaimanapun, dalam kenyataan hari ini, kementerian itu tidak membincangkan apakah Azman mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan sebelum pembentukan kerajaan sedia ada.

Rasionalisasi kuota proses biasa

Mengenai isu berkaitan pemotongan atau rasionalisasi kuota, kementerian itu menegaskan bahawa ia adalah proses biasa, dengan mengambil kira isu semasa yang dihadapi.

"Ia dilakukan selepas mengambil kira isu semasa yang dihadapi - bekalan yang tidak mencukupi di pasaran, untuk memastikan pengagihan yang cekap dan mengawal kos sara hidup untuk melindungi kepentingan pengguna."

“Rasionalisasi ini bukanlah kali pertama dilaksanakan, ia pernah dilaksanakan pada tahun 2018 dan 2021.

“Kajian rasionalisasi tahun 2022 diadakan kerana isu ketirisan dan prestasi bekalan minyak masak yang dikesan oleh kementerian atas arahan Pengawal Bekalan. Rasionalisasi juga dibuat melalui kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu berkaitan kelulusan kuota kepada dua syarikat yang berdaftar di bawah alamat yang sama, kementerian itu berkata semakan ke atas Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendedahkan bahawa syarikat tersebut adalah dua syarikat berasingan dengan pemegang saham berbeza.