Menteri dalam negeri dikelirukan pegawai Imigresen, kata Waytha
Peguam yang mewakili wartawan Pakistan yang dihantar pulang ke negara asalnya, Syed Fawad Ali Shah, mempertikai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, yang menyatakan bahawa lelaki itu ditangkap tahun lalu kerana tidak mempunyai pas masuk yang sah ke Malaysia.
P Waytha Moorthy dalam satu kenyataan, mendakwa Saifuddin telah dikelirukan oleh Jabatan Imigresen melalui jawapan itu bagi membenarkan penghantaran pulang terhadap Fawad.
Waytha juga mendakwa Jabatan Imigresen, yang ketika itu diketuai Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud, telah bersubahat dengan agensi Inter-Services Intelligence (ISI) Pakistan untuk menangkap dan menghantar pulang wartawan itu.
Wartawan itu terkenal kerana menyiasat kes rasuah dalam kerajaan dan kes orang hilang melalui beberapa akhbar harian berbahasa Inggeris di negara asalnya.
"Pihak Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia tahu kehadiran Fawad Ali di Malaysia sejak 11 tahun lalu yang melarikan diri dari Pakistan setelah beberapa percubaan pembunuhan oleh perkhidmatan rahsia Pakistan, ISI termasuk serangan bom ke atasnya.
"Sebenarnya, Fawad Ali telah bekerjasama dan berhubungan rapat dengan Polis dan Imigresen sejak itu.
"Fakta yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri di Parlimen bahawa Fawad telah dihantar pulang atas alasan tidak mempunyai pas masuk yang sah menunjukkan rasa tidak bertanggungjawab di pihak Malaysia di mata badan-badan hak asasi manusia antarabangsa dan komitmen Malaysia terhadap konvensyen dan prinsip-prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Waytha.
Waytha, yang juga Presiden Malaysia Advancement Party, mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons terhadap jawapan bertulis Saifuddin di parlimen.
Menteri Dalam Negeri itu menjawab soalan dari Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bahawa Fawad ditangkap kerana tidak mempunyai pas masuk yang sah ke Malaysia sebelum dia dihantar pulang ke negara asalnya pada bulan Ogos tahun lalu.
Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata Syed Fawad, 41 tahun, adalah seorang pelarian di Malaysia sebelum dihantar pulang atas permintaan kerajaan Pakistan.

Bulan lalu, portal berita ini memetik Waytha sebagai berkata bahawa wartawan itu memberitahu isterinya bahawa dia diculik oleh agensi perisikan Pakistan dari Malaysia.
Waytha dalam kenyataannya hari ini berkata "pengusiran terhadap Fawad secara rahsia” merupakan pelanggaran jelas terhadap peruntukan undang-undang dan perlindungan yang diberikan kepada pelarian di bawah Konvensyen Pelarian 1951.
Menurut peguam itu, kerajaan sepatutnya menggunakan perjanjian ekstradisi yang dimiliki Malaysia dengan Pakistan dalam menangani kes Fawad, kerana ia akan memberikan ruang kepada wartawan itu untuk membela diri di mahkamah.
"Walaupun saya memahami bahawa tindakan untuk mengusir Fawad Ali berlaku di bawah kuasa kerajaan dan Menteri Dalam Negeri terdahulu Hamzah Zainuddin, masyarakat madani terkejut dengan sejauh mana Menteri terkini Saifuddin dipandu oleh pegawai imigresen atasan untuk membenarkan tindakan yang melanggar undang-undang ketua pengarah terdahulu yang bekerjasama secara tidak sah dengan Perkhidmatan Rahsia ISI Pakistan dengan cara rahsia.
"Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Pakistan. Kerajaan sepatutnya menggunakan perjanjian tersebut dan ketentuan undang-undangnya dalam menangani kes Fawad Ali.
"Ini akan memberi Fawad Ali peluang untuk diwakili secara sah dan membincangkan kesnya di mahkamah bahawa kehadirannya di Malaysia adalah sah di bawah undang-undang antarabangsa dan status diakui di bawah Konvensyen Pelarian Geneva," katanya.
Malaysiakini telah menghantar permintaan untuk mendapat komen kepada Saifuddin dan Khairul Dzaimee.
Tahun lalu, isteri Fawad, yang hanya dikenali sebagai Syeda, merayu bantuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mencari suaminya yang hilang.
Pada Mac tahun ini, dilaporkan Syed Fawad telah ditemui di penjara di Pakistan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/10/d734c37e7833a86a290982bf68e0683d.jpg)
