PN enggan selesa dengan sokongan meningkat di 6 negeri
Meskipun PN melihat sokongan terhadap mereka semakin meningkat di enam negeri yang bakal dibubarkan dewan undangan masing-masing, seorang pemimpin gabungan terbabit berkata mereka tidak mahu berada dalam keadaan selesa.
Justeru Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu berkata gabungan itu sudah bersedia dengan menawarkan manifesto berasingan - yang dianggapnya realistik - untuk setiap negeri terbabit.
"Dari segi maklum balas yang kita terima daripada pengundi di enam negeri ini amat positif.
“Bagaimanapun kita (PN) tidak boleh begitu selesa dan perlu menyediakan satu manifesto bagi setiap negeri yang diadakan PRN (pilihan raya negeri)," katanya dipetik Sinar Online hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu menambah dengan tumpuan dan kerja yang bersungguh-sungguh PN mampu mendekati rakyat dan menyampaikan hasrat mereka.
Dengan cara itu katanya PN akan mampu menarik sokongan majoriti pengundi di enam negeri yang bakal terbabit dalam PRN tidak lama lagi.
Untuk rekod PRN - yang dijangka akan diadakan pada Jun ini - melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini ditadbir PH, manakala tiga yang lain diketuai PAS. Semua enam negeri terbabit tidak membubarkan dewan undangan masing-masing bagi menyertai PRU pada 19 Nov tahun lalu.
Mengulas lanjut, bekas ahli parlimen Tambun itu berkata kerjasama rapat di antara Umno dan DAP dalam kerajaan perpaduan dilihat membuatkan sokongan terhadap PN meningkat.
"Dari segi pembahagian kerusi, tidak ada masalah besar untuk kita kerana telah ada persetujuan dan persepakatan antara rakan-rakan komponen.
"Kami nampak apabila Umno dan DAP bekerjasama rapat, sokongan kepada PN terutama PAS dan Bersatu ada peningkatannya," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/8640706b2a519c7c9bc221b5023fe824.jpg)
