Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang mahu Umno lebih kuat dari Bersatu, PAS
Diterbitkan:  Apr 17, 2023 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Lim Kit Siang berkata kenyataan yang dibuatnya mengenai isu pembebasan Najib Razak bertujuan untuk melihat Umno menjadi lebih kuat berbanding PAS dan Bersatu.

Veteran DAP itu berkata satu-satunya cara untuk Umno kembali gemilang seperti dahulu ialah dengan parti tersebut kembali berpegang kepada dasar dan prinsip asas pembinaan negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan Rukun Negara.

“Umno perlu mengembalikan kebebasan badan kehakiman dan memberikan keutamaan kepada usaha memerangi rasuah sebagai keutamaan.

“Saya tidak percaya yang pengampunan Najib Razak boleh membawa nafas baru kepada Umno selepas kekalahan parti tersebut dalam dua PRU yang lepas, bukan kerana saya takutkan Najib.

“Saya harap pemimpin Umno akan memikirkan soal ini kerana Malaysia telah hilang arah dan menyimpang dari dasar dan prinsip asal pembinaan negara majmuk yang diperakui oleh tiga perdana menteri terawal,” jelasnya.

Sebelum ini bekas ahli parlimen Iskandar Puteri itu dikritik selepas melontarkan amaran bahawa kerajaan perpaduan boleh runtuh sekiranya Najib mendapat pengampunan diraja.

Lim berpendapat pengaruh Najib kepada Umno - jika dinilai berdasarkan kepada PRU lalu - adalah terbatas.

Selain Lim veteran PKR Hassan Abdul Karim turut menyatakan rasa keberatan untuk menerima pengampunan terhadap Najib.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mendapat kritikan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa PH bimbang kembalinya Najib ke persada politik negara akan mengukuhkan pengaruh Umno.

Lim berkata dia berharap ahli politik Malaysia akan menjadikan negara ini sebagai negara contoh untuk amalan toleransi, kemakmuran dan persefahaman antara etnik seperti diangankan bekas presiden Umno.

“Kita tidak boleh memimpin rakyat Malaysia - yang dibentuk dari pelbagai kumpulan etnik, agama, dan budaya - ke jalan mati.

“Mengapakah Malaysia tidak boleh menjadi negara contoh untuk persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya dan tamadun kepada dunia, atau sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu seperti yang dikatakan oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman?” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS