Kerajaan berharap kemudahan WiFi yang disediakan secara percuma di masjid dan surau di Johor dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya, terutama oleh golongan muda.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif itu disediakan untuk memberi kemudahan kepada jemaah termasuk orang muda mendapatkan akses Internet bagi tujuan pembelajaran, celik maklumat dan pelbagai aktiviti pengimarahan.

Dia berkata kerajaan negeri turut berharap pelaksanaan itu dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk kembali mendekati masjid, bukan sahaja untuk mengerjakan solat tetapi sebagai tempat rujukan bagi menuntut ilmu pengetahuan menerusi kemudahan WiFi yang disediakan.

"Harap anak-anak muda dapat memanfaatkannya sebaik mungkin.

"Barangkali di sekolah tiada WiFi, bolehlah pergi ke masjid-masjid dan gunakan perkhidmatan ini secara percuma. Usaha ini bukan satu dua, tetapi semua masjid.

"Bagaimanapun, harap jangan ada gunakan perkhidmatan ini untuk perkara yang memudaratkan. Tok kadi kena monitor, jangan guna untuk (perkhidmatan penstriman) Netflix," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Onn Hafiz berkata pemasangan talian WiFi Majlis Agama Islam Johor di 127 masjid dan 33 surau di Johor melibatkan kos RM470,404.80 meliputi aspek sewaan selama 12 bulan, pemasangan serta cukai jualan dan perkhidmatan.

Dia berkata sehingga Rabu lepas sebahagian ahli kariah daripada 19 masjid dan surau telah mendapat manfaat tersebut apabila kerja pemasangan berjaya disiapkan.

"Kerajaan negeri menjangkakan 800 masjid dan surau di negeri ini bakal memperoleh kemudahan tersebut dalam tempoh lima tahun," katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz menghadiri majlis berbuka puasa di padang kawad Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam di Kluang dan melancarkan inisiatif WiFi masjid dan surau peringkat negeri.

- Bernama