Dua anggota penguatkuasa Jais ditahan kerana didakwa menyamun
Dua anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditahan hari ini berikutan laporan bahawa mereka didakwa menyamun seorang lelaki warga Bangladesh ketika melakukan operasi mencegah maksiat di Shah Alam semalam.
Dua anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditahan hari ini berikutan laporan bahawa mereka didakwa menyamun seorang lelaki warga Bangladesh ketika melakukan operasi mencegah maksiat di Shah Alam semalam.
Kedua-dua anggota penguatkuasa itu yang berumur dalam lingkungan 20-an, ditahan di ibu pejabat Jais di Bangunan Sultan Idris di Shah Alam pagi ini.
Jurucakap polis berkata, warga Bangladesh itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam jam 10 malam tadi, mendakwa lima anggota penguatkuasa Jais menyerbu rumahnya di Taman Seri Muda di Shah Alam kerana mendapat maklumat ada wanita dalam rumah sewanya itu.
Bagaimanapun setelah menjalankan pemeriksaan anggota penguatkuasa itu tidak menemui wanita di dalam rumah berkenaan, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya dua anggota penguatkuasa Jais terbabit kemudiannya didakwa merampas kamera digital, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,000 milik lelaki Bangladesh itu.
Sementara itu, Pengarah Jais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata tindakan tegas buang kerja akan diambil terhadap dua anggota penguatkuasa itu jika siasatan polis mendapati mereka terbabit dalam kes samun itu.
Jais tidak akan berkompromi atau bertolak ansur dengan anggotanya yang melakukan kesalahan ketika menjalankan tugas, katanya ketika diminta mengulas penahanan itu.
"Kita tidak mahu kerana setitik nila rosak susu sebelanga. Banyak kerja-kerja membanteras maksiat telah dijalankan oleh Jais namun dek kerana kes seperti ini ia telah memburukkan imej Jais," katanya.

