Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Si mati’ beritahu mahkamah bukan isterinya yang bunuh
Diterbitkan:  Apr 19, 2023 3:58 PM
Dikemaskini: 1:25 PM

Kes bunuh melibatkan seorang bekas calon pilihan raya menjadi ‘lain macam’ hari ini apabila ‘si mati’ memberitahu bahawa bukan isterinya yang membunuhnya.

Lau Seck Yan, yang bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil 2018 - melawan, antaranya, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan - dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban pagi ini.

Menurut Oriental Daily News, Lau meminta kebenaran untuk bercakap. 

Bagaimanapun mahkamah terkejut apabila tertuduh itu mendakwa dia sebenarnya mangsa yang telah meninggal dunia dan merasuk tubuh Lau.

“Saya Poh Seng Hiap, si mati. Sayalah yang sedang bercakap di mahkamah ini. 

“Isteri saya tidak bunuh saya. Isteri saya tidak buat apa-apa,” kata Lau yang menggunakan logo arnab dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Hakim Rohani Ismail kemudian memintanya menunggu perbicaraan berlangsung barulah memberikan kenyataan berkaitan kes itu.

Tertuduh bagaimanapun terus berkata demikian.

Laporan itu menyebut walaupun orang lain dalam mahkamah terkejut, anak perempuan mereka kelihatan tenang sahaja.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh pendengaran kes pada Mac 2025. 

Tertuduh memohon perbicaraan dipercepatkan dan dia diberikan pendengaran yang adil.

Bagaimanapun, Rohani berkata itulah tarikh tercepat dapat dia berikan.

Katanya, Negeri Sembilan hanya mempunyai seorang hakim jenayah, iaitu dia seorang.

Lau, 55, pada mulanya dituduh membunuh di Mahkamah Majistret Seremban pada Januari tahun lalu.

‘Saya tak bunuh dia’

Ketika itu dia memberitahu media bahawa dia tidak membunuh suaminya.

“Saya tidak bunuh dia! Dia tolak saya! Dia serang saya!

“Saya tidak bunuh siapa-siapa! Saya sebenarnya mangsa. 

“Mereka mahu siasat saya bawah Seksyen (302), ini tidak adil buat saya. Pegawai polis tak mahu siasat bawah seksyen lain,” katanya.

Lau mengulangi kenyataan sama di mahkamah lepas pertuduhan dibacakan.

Peguamnya Ng Kian Nam memohon mahkamah untuk menghantar anak guamnya untuk penilaian psikologi tetapi tidak dibenarkan.

Lau didakwa menikam dada dan perut suaminya, akauntan yang juga berumur 55 tahun, di rumah mereka di Seremban.

Mereka mempunyai dua orang anak yang dipercayai menyaksikan kejadian itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS