Jemputan BA: Umno serah pada MT
Dua pemimpin Umno menerima saranan pembangkang untuk mengundang Barisan Nasional membincangkan "cabaran genting negara" tetapi menyerahkan keputusan untuk menerima cadangan tersebut kepada Majlis Tertinggi.
"Secara peribadi, saya tidak ada masalah untuk berbincang," jelas Naib Presiden Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib kepada malaysiakini .
Beliau berkata perbincangan pelbagai komponen parti itu akan membawa titik pertemuan antara kaum tetapi cadangan Barisan Alternatif perlu dibawa kepada mesyuarat parti itu.
Majlis Tertinggi dijadualkan mengadakan pertemuan esok jam 3.30 petang.
Apabila ditanya isu-isu yang disarankan untuk perbincangan meja bulat BN-BA, Muhammad berkata "isu politik terlalu banyak diperkatakan" dan beliau sebaliknya menyarankan agar semua pihak membincangkan "soal pembangunan sosial di bandar dan luar bandar, soal peningkatan taraf hidup, wanita serta hubungan keluarga."
Lapan pemimpin utama pembangkang dua hari lalu bersetuju menjemput komponen BN bagi membincangkan isu-isu antaranya pendakwaan terpilih terhadap penentang kerajaan, sekatan ketat ke atas media, penafian hak mengadakan perhimpunan aman, keganasan polis yang sistematik dan pengurusan ekonomi negara.
Anggota Majlis Tertinggi, Azalina Othman turut menerima saranan BA tetapi menegaskan Umno perlu menyelesaikan soal utama, perjumpaan untuk membincangkan perpaduan Melayu dengan PAS.
Parti Keadilan Nasional bagaimanapun menolak cadangan Umno itu dengan dakwaan tidak ada perpecahan di kalangan orang-orang Melayu, dan sebaliknya perpecahan itu wujud apabila sokongan rakyat beralih daripada Umno kepada parti-parti pembangkang.
Mengulas penolakan itu, Azalina menyifatkan Keadilan "cakap tidak serupa bikin."
Beliau menambah, kempen Keadilan dalam pilihanraya kecil Lunas November lalu menggunakan isu perkauman dan ia merupakan taktik "paling kotor" berbanding parti-parti pembangkang lain.
Agama hak individu
"Apabila diajak berbincang tentang (perpaduan) Melayu, Keadilan (menjelaskan) parti (itu bersifat) berbilang kaum," katanya.
Azalina berkata, perbincangan antara Umno dengan PAS perlu disegerakan kerana parti Islam itu menggunakan unsur-unsur agama dalam politik.
"Islam kepunyaan semua orang, bukan milik PAS," jelasnya.
Agama adalah hak individu dan tidak bijak sekiranya ia dijadikan isu di kalangan rakyat berbilang kaum, tambahnya.
Apabila ditanya perpaduan di kalangan wanita, Azalina berkata soalan itu perlu ditujukan kepada PAS kerana parti itu menganggap "wanita sebagai golongan kelas ketiga."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.