PRN: Negeri-negeri PAS dijangka bubar DUN hujung Jun
Tiga negeri yang ditadbir oleh PAS dijangka membubarkan dewan undangan masing-masing pada akhir Jun untuk membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) yang semakin hampir, kata Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah.
Negeri-negeri yang disebut tadi ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Tiga negeri lain di bawah Pakatan Harapan - Pulau Pinang, Selangor dan Pulau Pinang - yang akan mengadakan pilihan raya negeri mereka tahun ini, juga telah bersetuju untuk membubarkan dewan undangan mereka pada Jun, maklum Amar.
Dia dilaporkan oleh New Straits Times sebagai berkata bahawa Kelantan telahpun memutuskan untuk membubarkan DUN pada penghujung Jun.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Amar dipetik BH Online pula berkata PAS Kelantan telah menyenarai pendek calonnya tetapi keputusan muktamad terletak pada Menteri Besar Ahmad Yakob.
"Di Kelantan kalau ikut menteri besar, dua minggu sebelum akhir Jun. Beliau ada sebut dalam mesyuarat, DUN di Kelantan akan tamat tempoh pada 28 Jun depan, justeru kemungkinan (pengumuman pembubaran DUN) dua minggu lebih awal.
"Jika semua enam negeri bubar DUN pada Jun depan, kita menjangka PRN pada Julai kerana dari segi pertimbangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), buat serentak dapat mengelak kos lebih besar.
"Persiapan sudah maksimum, cuma calon belum diputuskan secara muktamad lagi tetapi sudah ada senarai yang dicadangkan dan diangkat kepada menteri besar'," katanya.
Amar bercakap kepada pemberita hari ini selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran menteri besar Kelantan di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu.
Sementara itu, Amar, yang juga timbalan ketua PAS Kelantan berkata kerajaan negeri sedang membuat persiapan yang sewajarnya untuk menghadapi pilihan raya.
Mengenai pembahagian kerusi, katanya pendirian awal PAS untuk pilihan raya negeri Kelantan akan datang ialah parti itu akan mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya pada 2018.
Lapan kerusi yang dimenangi BN semasa pilihan raya 2018 akan diagihkan kepada Bersatu, kata Amar.
Menurut Utusan Malaysia, pendirian ini menjadi titik tolak perbincangan antara PAS dan Bersatu.
Pada pilihan raya 2018, PAS menang 37 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan manakala BN memenangi lapan kerusi.
Bagaimanapun, BN kini hanya mempunyai tujuh kerusi kerana Adun Air Lanas, Mustapa Mohamed telah menyertai Bersatu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/a0e042fc4c8c0917fe7a8c332e12f6c2.jpg)
