Enam tertuduh yang terpaksa meringkuk di penjara sepanjang hujung minggu lalu kerana tidak dapat membayar ikat jamin, dibebaskan hari ini selepas berbuat demikian, hari ini.

Peguam Alvin Tan berkata penjamin mereka diminta ke kaunter ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 pagi hari ini.

“Pagi ini, peguam mereka bersama penjamin tiba di mahkamah kira-kira 9.30 pagi. Pegawai mahkamah sudah bersedia dengan permohonan ikat jamin bagi enam tertuduh itu.

“Dengan bantuan pegawai mahkamah, penjamin berjaya melengkapkan prosedur ikat jamin sekitar tengah hari. Mereka akhirnya dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya dipetik portal, Free Malaysia Today.

Tan minggu lalu mendakwa kaunter jaminan ditutup awal pada Khamis (20 April), sehingga memaksa enam tertuduh itu menghabiskan hujung minggu di penjara walaupun dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah.

Dia mendakwa kaunter jaminan ditutup pada jam 2.53 petang walaupun ada notis menyatakan waktu pejabat adalah sehingga 4.30 petang.

Keenam-enam tertuduh berkenaan memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan konspirasi jenayah dengan niat untuk menipu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa tertuduh tidak dapat mengemukakan penjamin mereka sehingga kaunter ditutup pada jam 4 petang iaitu waktu biasa penutupan kaunter sepanjang Ramadan.

[Baca berita penuh]