Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa rakaman CCTV didedahkan bagi membuktikan dakwaan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) bahawa kaunter jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur memang tidak tutup lebih awal pada Khamis lalu.

Lim berkata ia merupakan satu-satunya cara bagi membuktikan perkara itu.

"Rakaman ini penting bagi memastikan pihak kaunter jamin tidak bersalah dalam hal ini," katanya yang juga seorang peguam.

Semalam, PKPMP menafkan dakwaaan bahawa enam individu tidak dapat membayar ikat jamin kerana kaunter di kompleks mahkamah itu tutup pada jam 2.53 petang pada Khamis lalu, bukannya jam empat petang seperti dijangka.

Ia menyebabkan mereka terpaksa ditahan di Penjara Sungai Buloh pada hari Jumaat sehingga Ahad. Proses permohonan ikat jamin mereka selesai semalam, yang merupakan hari cuti umum.

PKPMP berkata mereka tidak dapat diikat jamin kerana penjamin tiada di mahkamah.

Kehadiran penjamin ketika proses ikat jamin adalah sebahagian daripada prosedur yang perlu dipatuhi bagi membolehkan mahkamah mengesahkan identiti penjamin serta memberi penerangan lisan berhubung syarat dan tanggungjawabnya sepanjang tempoh jaminan, kata PKPMP lagi.