Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agus tak cermat menyindir - Pemuda PAS Kelantan
Diterbitkan:  Apr 26, 2023 12:03 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Pemuda PAS Kelantan menyifatkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff tidak cermat ketika tampil mengkritik permasalahan kemudahan asas di negeri itu.

Naib ketuanya Mohd Firdaus Nawi berkata Pulau Pinang telah diheret oleh Agus walaupun negeri yang ditadbir PH itu tidak bersalah dalam isu yang diperkatakan.

Dia juga menasihati bekas ahli akademik itu agar berhati-hati semasa memberikan pandangan.

“Kata orang lama, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Maksud mudahnya ialah, hati-hati dalam berkata-kata.

"Pulau Pinang tidak bersalah tetapi Agus telah mengheret negeri itu dalam kancah perbandingan yang memualkan," katanya.

Tambah Mohd Firdaus jika Agus menyindir Kelantan dipenuhi dengan sampah dan kekotoran ia boleh saja dikatakan begitu dan tidak perlu dibandingkan dengan Pulau Pinang.

Hal itu kerana, katanya, negeri di kawasan utara itu juga berdepan masalah yang sama.

"Sebagai informasi Agus, saya sertakan capaian akhbar yang boleh dibaca Agus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Agus yang juga bekas pensyarah sains politik mendakwa kualiti air yang teruk, jalan sempit dan berlubang serta sampah berlonggok di merata tempat adalah antara masalah yang berlanjutan di Kelantan pada setiap sambutan hari raya.

"Balik Kelantan sambut raya. Tiga perkara yang merimaskan.

"Airnya perlahan dan kualitinya teruk, jalannya sempit dan berlubang, sampah berlonggok di merata tempat dan kotor,” katanya.

Agus juga memberitahu selepas kembali ke Kelantan dia akan bertolak pula ke Pulau Pinang untuk menikmati 'kelainan' suasana.

"Sekejap lagi bertolak ke Pulau Pinang. Nikmati kelainan," katanya lagi.

Untuk mengukuhkan dakwaan bahawa Pulau Pinang turut berdepan dengan isu kekotoran, Mohd Firdaus memaparkan beberapa laporan akhbar berkait isu pencemaran sungai dan pembuangan sampah haram di negeri terbabit.

“Sekali lagi Pulau Pinang tidak salah tetapi yang tidak betulnya adalah Agus, pengarah J-KOM yang jawatannya bukan sahaja dipertikai lawan tapi dalaman komponen kerajaan juga,” katanya.

Lihat Komen
ADS