Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rumah terbuka: Jemput secara tak rasmi pun tak apa, kata Sanusi
Diterbitkan:  Apr 27, 2023 7:12 PM
Dikemaskini: Apr 28, 2023 2:39 AM

Beberapa hari sebelum Rumah Terbuka Malaysia Madani diadakan di Alor Setar, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan supaya sebarang urusan yang dilakukan mana-mana pihak perlulah demi mencari jalan ke arah kebaikan.

Dia yang mengesahkan masih belum menerima sebarang jemputan rasmi ke program yang dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu berkata dia sedikit pun tidak berkecil hati.

Pada masa sama Adun Jeneri itu berkata dia tidak keberatan jika jemputan untuknya disampaikan secara tidak rasmi.

“Kita buat apa-apa urusan sentiasa mencari jalan untuk kebaikan, bukan jalan kepada perpecahan, permusuhan atau perbalahan. Tak bagus macam tu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Sanusi yang juga pemimpin kanan PAS itu berkata setakat ini jemputan daripada kerajaan pusat untuk menghadiri rumah terbuka - yang dipertikaikan PN itu - hanya dihantar ke pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.

Menegaskan dia akan hadir jika mendapat jemputan kerana itu adalah protokol, Sanusi berkata, dia juga akan menyertai majlis itu jika Sultan Kedah berkenan untuk hadir sama.

“Saya ucap terima kasih kerana pilih Kedah sebagai destinasi pertama. Mungkin kemeriahan Syawal masih terasa dan saya harap ramai orang hadir.

“Jemputan rasmi (untuk saya) tak ada tetapi dari segi protokol sepatutnya perlu ada jemputan. Kalau nak jemput secara tak rasmi pun tak ada masalah.

“Saya difahamkan ada jemputan kepada Tuanku Sultan Kedah, sekiranya Tuanku Sultan tidak berangkat, saya akan pertimbangkan semula,” katanya.

Sebelum ini, Sanusi adalah antara pemimpin PAS-PN yang lantang mengkritik penganjuran rumah terbuka tersebut yang akan diadakan di enam negeri.

Pengarah Pilihan Raya PN itu menganggap Rumah Terbuka Malaysia Madani itu lebih bersifat kempen menjelang pilihan raya negeri dan ia melibatkan kos yang tinggi.

PN berpendapat rumah terbuka anjuran kerajaan pusat sewajarnya hanya diadakan di satu saja lokasi iaitu di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya.

Program seumpama itu adalah pertama kali diadakan dalam sejarah majlis rumah terbuka perdana menteri yang lazimnya diadakan pada 1 Syawal dan tidak melibatkan mana-mana lokasi di luar Lembah Klang dan pada tarikh berbeza.

Selain Kedah, turut akan diadakan majlis sama ialah di Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Pada masa sama Sanusi menegaskan bukan niatnya untuk bergaduh dengan sesiapa atau mana-mana pihak khususnya semasa Syawal.

“Saya boleh berkawan dengan siapa pun. Bukan nak berkira pasal Sanusi, saya tiada apa-apa. Apabila sudah jadi menteri besar perlu fikirkan kedudukan itu mengikut protokol,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS