Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ini tak betul - Hang guna dana k’jaan buat kempen PRN, kata Sanusi
Diterbitkan:  Apr 24, 2023 9:38 AM
Dikemaskini: 5:29 AM

Berbeza dengan dua rakan sejawatannya dari Kelantan dan Terengganu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor beranggapan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.

Katanya, program terbabit melibatkan kos yang tinggi dan seharusnya jamuan rumah terbuka Aidilfitri diadakan di satu saja lokasi iaitu di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelazimannya ini dan bukannya di enam negeri seperti yang dirancang.

"Ini program kempen pilihan raya bukan rumah terbuka tetapi ambil kesempatan daripada Aidilfitri apa program sesuai nak buat kempen? Maka buat rumah terbuka.

"Kita bukan nak halang rumah terbuka kepada orang ramai tetapi sebagai kerajaan yang cakap tentang langkah jimat cermat, tak payah buat program besar-besar, itu bertentangan dengan diri mereka sendiri," katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Sabtu lalu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dia mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta kabinet ke negeri itu.

Malah, katanya, perbezaaan parti politik yang memerintah di peringkat negeri dan pusat bukan halangan untuk mereka bekerjasama bagi menyambut Aidilfitri menerusi penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani yang dijadualkan pada 13 Mei ini.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob pula berkata “hubungan antara negeri dan persekutuan mesti wujud” dan kerajaan negeri tidak mempunyai halangan terhadap majlis itu yang dijadualkan pada 12 Mei di Kota Bharu itu.

Bagaiamanapun Ahmad enggan mengulas apabila ditanya jika penganjuran majlis berkenaan dikatakan mempunyai kaitan dengan PRN.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, semua tindakan politik terbabit dapat dinilai sendiri oleh orang ramai.

"Semua tindakan politik ini pergi pada peti undi, rakyat akan nilai hang guna dana kerajaan dana kementerian buat program kempen pilihan raya untuk parti hang, itu tak betul," katanya.

Sanusi, bagaimanapun dilaporkan berkata, dia tiada kuasa untuk menghalang rumah terbuka itu diadakan di Kedah malah akan turut hadir bersama.

"Saya tidak ada kuasa nak halang, lagipun bagus untuk rakyat Kedah pi makan.

“Saya tak tau ada jemputan atau tak tapi itu rumah terbuka, jemput atau tak saya akan hadir sebagai orang Kedah," katanya yang dipetik oleh akhbar itu lagi.

Buat pertama kali dalam sejarah majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri yang lazimnya diadakan pada 1 Syawal akan diadakan di luar Lembah Klang dan pada tarikh berbeza.

Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri itu dijadualkan diadakan di di Hotel Raia di Alor Setar pada Sabtu depan sebelum ke lima negeri lagi.

Selain Kedah, Terengganu, dan Kelantan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN), majlis serupa juga akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Lihat Komen
ADS