Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini memberi kebenaran kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang tidak membenarkannya menubuhkan sebuah parti politik di peringkat kebangsaan.

Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed, Datuk Ariffin Zakaria dan Datuk Abdul Aziz Mohamad membenarkan PSM untuk merayu dan membahaskan merit kes terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Parti itu, yang diwakili peguam Tommy Thomas, diarah untuk memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari, demikian menurut laporan Bernama.

Mahkamah turut menolak permohonan daripada Majlis Peguam, Suaram dan Hakam, untuk menjadi pemerhati dalam kes yang menamakan Menteri Dalam Negeri, yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Datuk Mary Lim dan Azizah Nawawi, sebagai responden.

Ini adalah rayuan terakhir bagi PSM terhadap keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 27 Januari 1999, yang menolak permohonannya untuk didaftar sebagai parti politik.

Parti politik

Pada 30 April 1998, PSM memohon untuk menubuhkan sebuah parti politik tetapi hanya dibenar untuk aktif di Selangor. Rayuan kepada Menteri Dalam Negeri ditolak.

Tidak puas hati dengan keputusan itu, pengerusi jawatankuasa penaja PSM, Dr Mohamed Nasir Hashim, memfailkan satu permohonan bagi kajian semula kehakiman untuk membatalkan keputusan menteri itu tetapi ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Jan 2003.

Selepas itu, ia dibawa ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya sebulat suara menolak rayuan itu dengan kos pada 16 Ogos 2006 dan mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Akta Pertubuhan 1966 membolehkan pendaftar mengenakan syarat-syarat yang dianggap wajar sebelum mendaftarkan sesebuah pertubuhan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya memutuskan bahawa dasar ROS yang memerlukan jawatankuasa sesebuah parti politik mengandungi wakil dari sekurang-kurangnya tujuh negeri dalam Persekutuan apabila pendaftaran untuk peringkat nasional bukanlah amalan yang tidak munasabah.