Anwar: Mereka gelar saya macam-macam tapi bukan 'pencuri'
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjawab kritikan pembangkang terhadapnya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pelbagai gelaran diberikan kepadanya oleh pembangkang namun bukan gelaran "pencuri".
"Mereka mendakwa Anwar zalim, dan menindas rakyat. Tetapi satu perkara yang mereka tidak sebut, Anwar mencuri hak rakyat.
"Dia tak sebut kerana itu hak dia," katanya semasa berucap di Himpunan Madani di Alor Setar, Kedah, malam ini.
Anwar, yang juga menteri kewangan, mendakwa sekiranya rakyat mengetahui urusan kerajaan terdahulu, mereka tidak akan sekali-kali menyokong pentadbiran berkenaan.
Dia dipercayai merujuk kepada pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin.
Terdahulu, kira-kira 4,000 orang meredah hujan di Alor Setar, Kedah, untuk melihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Himpunan Madani di negeri itu.
Kebanyakan yang hadir berlindung di bawah khemah yang didirikan di sekitar lokasi Dataran Stargate, walaupun ada yang telah bersedia dengan payung dan baju hujan.
Anwar tiba kemudian pada pukul 9 malam ketika hujan reda. Dia melancarkan bas dan trak ‘perpaduan’ pada 10.20 malam dengan diiringi Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Saifuddin, bas dua tingkat itu akan digunakan untuk berkempen bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang, manakala dua trak itu - satu dengan gambar mukanya dan satu lagi gambar Anwar - akan digunakan untuk memberi bantuan kepada rakyat Kedah dua kali sebulan.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut menghadiri perhimpunan itu, bersama menteri lain iaitu Salahuddin Ayub dan Fahmi Fadzil

Acara bermula pada sebelah petang. Seorang badut kelihatan menggembirakan kanak-kanak dengan menawarkan belon kepada mereka.
Para hadirin turut diberikan kemeja-T berlogo ‘Malaysia Madani’, dan baucar untuk digunakan di gerai makan dan minuman di kawasan itu.
Ia turut menampilkan cabutan bertuah dan juga persembahan termasuk penyanyi terkenal Siti Nurhaliza dan Amy Search.

Terdahulu pada sebelah petang, Anwar, Salahuddin, Saifuddin, dan Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan telah membuat lawatan singkat di tempat itu untuk menyambut orang ramai.
Mereka tiba pada pukul 5.30 petang dan meluangkan masa kira-kira 15 minit di kawasan sekitar.
Majlis anjuran sekretariat Pakatan Harapan (PH) dan PH negeri itu diadakan menjelang rumah terbuka Aidilfitri peringkat kebangsaan kerajaan pusat di bandar yang sama esok.
Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar sebelum ini memberitahu Malaysiakini acara itu adalah untuk pemimpin kerajaan menjelaskan dasar kepada akar umbi dan menerima maklum balas, dan dibiayai sepenuhnya oleh PH Kedah.
Katanya, hadiah cabutan bertuah termasuk lima motosikal itu disumbangkan penyokong.
Perhimpunan malam ini diakhiri dengan bacaan doa, persembahan Hari Raya dan pertunjukan bunga api.
Majlis itu diadakan menjelang rumah terbuka Aidilfitri peringkat kebangsaan oleh kerajaan pusat yang akan diadakan di bandar yang sama pagi esok.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/9dbca3a8a9d4a4a6db3f52cfa13dbe96.jpg)
