Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Saya akan pertahan semua MP BN, terus sokong Anwar

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa BN akan mengekalkan sokongannya kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Dia berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Perikatan Nasional (PN) merancang untuk menggulingkan pentadbiran Anwar dengan kononnya meyakinkan beberapa ahli parlimen BN untuk meletakkan jawatan, membuka jalan kepada pilihan raya kecil (PRK).

Bercakap pada Himpunan Madani di Alor Setar, Kedah malam ini, Zahid berkata BN dan PH berdepan cabaran tersendiri dalam membentuk kerajaan.

"Pelbagai cabaran termasuk baru-baru ini kononnya hari ini 15 orang ahli parlimen daripada BN nak letak jawatan, nak ada PRK.

"Saya tidak mahu mendahului hukum Allah. Insya-Allah sebagai pengerusi BN sebagai presiden Umno saya akan pertahankan semua ahli-ahli parlimen BN dan akan terus memberikan sokongan kepada Anwar," katanya.

Turut hadir pada majlis malam ini ialah Anwar, dan tiga lagi menteri iaitu Saifuddin Nasution Ismail, Salahuddin Ayub dan Fahmi Fadzil.

Dakwaan rampasan kuasa oleh PN pertama kali muncul dalam laporan oleh theVibes, yang mendakwa ahli parlimen BN yang meletak jawatan akan memohon pilihan raya semula dan bertanding sebagai pembangkang.

Menurut laporan itu, sekiranya ahli parlimen BN menang, mereka akan dapat membentuk kerajaan baru - dengan bantuan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak - dan meletakkan pemimpin PN Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, sekali lagi.

Laporan itu juga mendakwa perancang menjangkakan Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin akan membiayai plot itu kerana akaun bank Bersatu dibekukan.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menolak dakwaan itu, dengan menyatakan bahawa tiada perbincangan dalam Bersatu dan PN untuk menggulingkan perdana menteri.

Presiden MCA Wee Ka Siong, yang turut dinamakan dalam laporan The Vibes, juga menafikan terlibat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS