Tindakan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (KSAAS) untuk mendakwa lapan syarikat pemaju yang menyebabkan kerosakan alam di tanah tinggi Lojing di Gua Musang, adalah selaras dengan gesaan kerajaan Kelantan supaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat terbabit.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat berkata, isu tersebut sudah bercampur-aduk "kerana percubaan mempolitikkan isu lebih daripada keikhlasan memelihara alam sekitar".

Katanya, ini kerana isu yang dibangkitkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (KSAAS) berubah-ubah dari isu pembalakan kepada pembangunan tanah yang merosakkan alam sekitar kepada isu surat dan yang terbaru isu syarikat Singapura.

"Apa yang salah, apa yang benar dan apa jadi isu yang sebenar, sudah bercampur-aduk kerana percubaan mempolitikkan isu lebih daripada keikhlasan memelihara alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua hari lalu, Setiausaha Parlimen kementerian berkenaan, Datuk Sazmi Miah berkata pemaju terbabit akan didakwa serentak di Mahkamah Majistret Gua Musang kira-kira dua minggu lagi selepas semua kertas pertuduhan itu siap.

"Tindakan pendakwaan ini hanya pelaksanaan apa yang telah diputuskan oleh kerajaan negeri melalui mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Tanah Tinggi lojing pada 3 Mac 2007," kata Nik Aziz.

Tarikh mesyuarat tersebut, tambah beliau, adalah 20 hari lebih awal dari lawatan pertama Setiausaha Parlimen kementerian itu ke Lojing.

Nik Aziz berkata, sejak tarikh tersebut, kerajaan negeri, melalui Penasihat Undang-undang negeri, telah menggesa JAS yang terletak di bawah KSAAS mendakwa syarikat-syarikat yang menyebabkan kerosakan tersebut.

'Burukkan k'jaan negeri'

"Dengan itu, kerajaan negeri mengalu-alukan kesediaan KSAAS untuk akhirnya bertindak," katanya lagi.

Malah, katanya, tindakan mendakwa syarikat pemaju terbabit mengesahkan bahawa tugas pemantauan dan kuasa penguatkuasaan alam sekitar adalah di bawah kementerian berkenaan.

Walaupun agak terlewat, katanya, kerajaan negeri menyambut baik serta mengalu-alukan langkah tersebut.

"Kita sebenarnya kesal. Setelah puas kerajaan negeri diburuk-burukkan, baru hari ini mereka mahu mengaku isu ini terletak di bawah bidangkuasa kementerian berkenaan," katanya.

Mengenai cabaran Sazmi agar kerajaan Kelantan mendedahkan sama ada terdapat rakyat asing diberi hak mengusahakan tanah tinggi itu, Nik Aziz berkata, ia sebenarnya tidak berbangkit.

"Tidak timbul juga soal telus atau tidak transparen. Kita kena letakkan asas atau prinsip yang betul terlebih dahulu.

"Perkara asas di sini ialah sama ada menjadi kesalahan jika syarikat asing (sama ada Korea, China, Eropah atau Singapura) melabur atau terlibat dalam pembangunan baik di peringkat pusat atau negeri, termasuk di Kelantan.

"Jika (Datuk) Sazmi boleh menjawab soalan ini dengan tepat dan konsisten dengan dasar negara, barulah cabaran beliau relevan. Kerajaan negeri tidak perlu terperangkap dengan provokasi yang tidak relevan," kata Nik Aziz.