Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kian Ming: DAP tak akan boleh kompromi isu pengampunan Najib

Bekerjasama dengan parti berbeza dalam kerajaan perpaduan membuatkan DAP perlu berkompromi, dan bagi bekas wakil rakyatnya Ong Kian Ming, kompromi itu masih di tahap yang boleh diterima penyokong akar umbi parti.

Namun, bekas ahli parlimen Bangi itu memberi peringatan yang ada batasan yang tidak boleh dilanggar kerajaan.

Dia berkata antaranya termasuk pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak sebelum hukuman penjaranya tamat.

"Saya rasa untuk akar umbi dan mungkin juga pemimpin DAP, 'red line' itu adalah pembebasan Bossku," katanya merujuk kepada nama gelaran Najib.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan yang diutarakan bekas pemimpin Umno, Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin dalam podcast 'Keluar Sekejar' yang disiarkan di Youtube.

Ong Kian Ming

Mereka bertanyakan pandangan Ong berhubung kompromi yang telah dibuat DAP dan PH setakat ini.

Ia termasuk pelantikan ahli politik bagi mengetuai agensi kerajaan - isu yang ditentang PH ketika mereka menjadi pembangkang.

Ong berkata DAP mungkin masih boleh "menelan" kompromi seumpama itu, seperti pelantikan ahli politik dalam agensi kerajaan, namun kompromi itu tidak sehingga di tahap pembebasan Najib dari penjara.

"Itu saya rasa sesuatu yang agak serius. Jika akar umbi melihat kerajaan perpaduan ini berusaha begitu keras untuk mempercepat pengampunan Bossku, ia akan mencetuskan rasa tidak puas hati.

"Isu seperti pelantikan (ahli politik) dalama gensi kerajaan boleh terima lagilah.

"Saya rasa sesetengah pemimpin DAP, seperti Charles Santiago yang dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), saya rasa dia memang seorang yang berkalibar dan boleh ambil jawatan itu.

"Tetapi apabila ahli parti anda sendiri dapat jawatan, susah untuk kritik pihak lain (atas perkara sama)."

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta. Dia juga dikenakan denda RM210 juta.

Pada bulan lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan Najib kepada Yang di-Pertuan Agong.

MKT turut akan menghantar memorandum yang ditandatangani kesemua 191 ketua bahagian Umno untuk diserahkan kepada Agong.

Rancangan untuk memohon pengampunan Najib telah dikritik sejumlah pemimpin PH dan mencetuskan pergeseran antara gabungan itu dengan BN.

Lihat Komen
ADS