Anwar bimbang pengundi hantu muncul di Ijok 28 April ini
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang penipuan akan menyebabkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim kalah dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Sabtu ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang penipuan akan menyebabkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim kalah dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Sabtu ini.
Katanya, jika tidak berlaku penipuan, termasuk pengundi hantu dalam proses pengundian Sabtu ini, Khalid akan menang.
"Tetapi saya bimbang dengan kemungkinan berlakunya penipuan pada 28 April ini ," kata Anwar yang juga penasihat PKR dalam ceramah di Bukit Badong, Ijok malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penyokong pembangkang supaya mengatur masa ketika keluar mengundi Sabtu ini.
"Sebahagian keluar mengundi pada waktu pagi, manakala yang lain, mengundi sebelah petang kerana pengundi hantu datang selepas melihat peratus pemilih yang menyokong pembangkang keluar mengundi.
"Dalam pilihanya kecil Lunas pada November 2000, pengundi hantu dari Ijok yang paling ramai datang ke tempat mengundi," katanya.
Pilihanraya kecil Ijok yang diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk K Sivalingam pada 4 April lalu, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Khalid dengan calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban.
Ijok mempunyai 12,272 pemilih dengan pengundi Melayu seramai 51.04 peratus, India 28.16 peratus dan Cina 20.59 peratus serta 39 undi Pos.
Kongsi alamat
Anwar juga mendakwa, pemimpin Umno mengajar anak muda dengan budaya samseng, termasuk menimbulkan kekecohan dalam program anjuran PKR.
"Di Tuan Mee, saya berceramah bersebelahan dengan bilik gerakan MIC dan ramai ahli pemuda MIC mendengar ceramah saya tetapi semuanya aman kerana tidak ada Pemuda Umno.
Anwar juga berkata beliau telah membatalkan programnya di London esok kerana mahu terus berada di Ijok untuk membantu Khalid berkempen.
Sementara itu, ketika berucap di majlis yang sama, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Mohamud berkata, senarai daftar pemilih di Kampung Bukit Badong meragukan kerana ada pengundi India yang mempunyai alamat yang sama dengan pengundi Melayu.
Selain itu, beliau mendakwa ada nama pemilih yang hilang dari senarai dan tidak dapat dikesan walaupun dalam pilihanraya umum lalu, mereka mengundi di DUN Ijok.
Dengan nada sinis, beliau menambah: "Saya bimbang orang bangkit dari kubur untuk keluar mengundi pada 28 April ini."

