Mari kerja dan tambah baik bersama, kata Fahmi kepada media
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyatakan harapan untuk menjalinkan kerjasama yang lebih baik dengan pihak media.
Dalam sidang akhbar hari ini, Fahmi berkata insiden melibatkan dirinya dengan sebuah akhbar harian berkaitan laporan analisis media berkenaan harus dijadikan iktibar.
"Berhubung episod tertentu, anda tahu, kita belajar daripada kejadian ini dan berharap untuk bekerjasama dalam hubungan kerja yang lebih baik, untuk memastikan kita menangani isu yang dihadapi oleh rakyat dengan cara yang baik," katanya
Fahmi pada hujung bulan lalu menyifatkan laporan analisis oleh Berita Harian mengenai kenaikan kadar dasar semalaman negara (OPR) sebagai "fitnah".
Komen itu mendapat kritikan daripada kumpulan wartawan di negara ini, termasuk Kesatuan Wartawan, yang melihat kenyataan menteri itu sebagai serangan terhadap kebebasan akhbar.
Dia mengulas isu itu hari ini selepas ditanya mengenai jaminan kerajaan untuk menghormati kebebasan media di negara ini, dan khususnya teguran terbukanya terhadap laporan analisis berkenaan.
Terdahulu semasa sidang akhbar itu, Fahmi memuji prestasi negara berhubung kebebasan media selepas Malaysia menduduki tempat ke-73 dalam Kedudukan Kebebasan Akhbar Dunia Reporters Without Border (RSF) 2023, meningkat daripada kedudukan 113 yang dicapai tahun lepas.
Sambil menyifatkan ia sebagai berita positif, Fahmi berkata kerajaan dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim komited untuk menegakkan kebebasan akhbar di negara ini.
Ketika ditanya mengenai komitmen kerajaan ke arah memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) iaitu undang-undang lapuk yang mengawal media - Fahmi berkata kerajaan belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
"Saya fikir setakat yang diketahui kerajaan ketika ini belum membuat sebarang keputusan berhubung semakan yang anda minta," katanya.
Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan rayanya sebelum ini berjanji untuk menyemak dan memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara, termasuk PPPA.
Bagaimanapun, sejak berkuasa dan menerajui kerajaan perpaduan pada November lalu, tiada usaha bersungguh dilakukan ke arah itu.
Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata akta itu masih diperlukan bagi memastikan keselamatan awam.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/87e11ef858b40c3c960b19f4eb8f580f.jpg)
