Keadaan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sesak dan padat dengan orang ramai pada Isnin lalu apabila mereka terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan pas masuk (boarding pass) sebelum menaiki bas masing-masing.

Keadaan kecoh itu menyebabkan ada dalam kalangan penumpang yang ketinggalan bas.

Isu itu turut tular di media sosial apabila rata-rata pengguna perkhidmatan awam berkenaan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sistem pengurusan TBS.

Menurut Uzair Fadzli, 23 dia membeli tiket bas untuk pulang ke kampungnya di Batu Pahat melalui aplikasi pihak ketiga.

Namun apabila sampai di TBS, dia dan pengguna lain terpaksa beratur panjang kira-kira sejam untuk mendapatkan pas masuk kerana tidak mendapat kod QR.

“Saya tak dapat kod QR untuk diimbas, sudah semak e-mel pun tak ada.

“Disebabkan itu saya tertinggal bas semasa beratur untuk mencetak pas masuk tersebut.

“Jadi, saya beli tiket baru (juga melalui aplikasi pihak ketiga), tiket yang baru pun tak ada kod QR dan kena pergi ambil pas masuk juga,” katanya yang merupakan pelajar jurusan Sains politik di sebuah universiti awam.

Difahamkan punca orang ramai menghadapi masalah tersebut kerana mereka membeli tiket daripada aplikasi pihak ketiga seperti aplikasi Redbus serta Easybook dan bukan daripada aplikasi TBS sendiri.

Setiap pembelian tiket bas di atas talian melalui aplikasi TBS, akan disertakan kod QR yang dihantar menerusi e-mel.

Kod QR itu akan digunakan untuk diimbas sebelum penumpang menaiki bas masing-masing.

Namun, berdasarkan pemerhatian Malaysiakini di Twitter, sesetengah pengguna mengatakan tidak mempunyai masalah ketika membeli tiket daripada aplikasi pihak ketiga kerana mereka tetap menerima kod QR yang dihantar melalui e-mel selepas mengesahkan pembelian.

Bagaimanapun, penumpang lain seperti Uzair tidak mendapat kod QR untuk imbasan sebelum menaiki pengangkutan awam berkenaan.

Sementara itu, penuntut universiti awam, Fahada Misron 24 berkata, dia lebih memilih untuk membeli tiket bas menggunakan aplikasi pihak ketiga berbanding aplikasi TBS kerana mendakwa ia lebih mudah.

“Saya lebih banyak guna aplikasi Redbus kerana proses yang diambil untuk membeli tiket di atas talian menggunakan aplikasi tersebut lebih mudah berbanding menggunakan aplikasi TBS sendiri.

“Kadang-kadang terdapat pelbagai diskaun dan tawaran yang diberikan seperti pulangan wang tunai (cashback) oleh aplikasi tersebut,” katanya.

Dia yang merupakan pengguna tegar perkhidmatan awam berharap pihak TBS dapat menambah baik mutu perkhidmatan mereka selepas ini.

“Jadi sesak sebab kaunter yang dibuka untuk mencetak pas masuk sikit, sedangkan pihak TBS boleh mengagak bilangan orang ramai akan bertambah pada hari tersebut,” katanya lagi.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak TBS, tetapi masih belum mendapat maklum balas.