Pertukaran kerajaan persekutuan tidak salah selagi ia dibenarkan di sisi perlembagaan persekutuan dan undang-undang, kata pengerusi Perikatan Nasional negeri Selangor, Azmin Ali.

"Pertukaran kerajaan dan pimpinan di peringkat pusat bukan satu perkara luar biasa, ataupun perkara tidak boleh dilakukan, kerana perlembagaan membenarkan untuk sesebuah kerajaan dirombak apabila kerajaan gagal untuk memenuhi aspirasi rakyat.

"Apabila kerajaan dibentuk selepas PRU tidak mampu untuk selesaikan isu rakyat. Maka, keluhan ini akan diterjamahkan dalam bentuk tindakan di kalangan pimpinan dan ahli parlimen mewakili di kawasan masing-masing.

"Selagi ia terikat dengan peruntukan perlembagaan dan undang-undang, ia boleh dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ke majlis rumah terbuka

sambutan Aidilfitri anjuran DUN Gombak Setia di Gombak, Selangor hari ini.

Bekas ahli parlimen Gombak itu berkata demikian ketika ditanya mengenai ura-ura kerajaan perpaduan hari ini di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim bakal ditumbangkan.

Azmin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR, antara tokoh penting dalam pertukaran Kerajaan PH pada 2020 menerusi 'Langkah Sheraton'.

Ketika ditanya, bilakah jangkaan kerajaan hari ini bakal ditumbangkan, Azmin berkara rakyat akan menentukan perkara itu.

"Saya serah kepada rakyat. Inilah keluhan rakyat pada hari ini. Kerajaan tidak mampu untuk selesaikan isu rakyat.

"Mereka lebih bercakap daripada bertindak seolah-olah mereka terputus daripada realiti situasi keluhan masalah rakyat," katanya.

Sasaran 33 DUN di Selangor boleh dicapai

Sementara, Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor yakin sasaran PAS bahawa 33 kerusi DUN bakal dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor boleh dicapai.

"Andaian itu bagi saya boleh dicapai, kerana dalam PRU15 pun, kalau kita teliti data undi, telah diwartakan oleh pihak SPR, kita telah menang 14 kerusi DUN.

"Di sembilan kerusi DUN yang kita kalah kurang daripada 50,000 undi. Ada yang beza majoriti 100 undi sahaja. Maknanya, kita hanya perlukan dalam antara 1,000 hingga 2,000 undi sokongan. Dengan situasi semasa saya yakin kerusi-kerusi ini boleh ditawan PN

"Ini menjadikan jumlah dalam tangan 23 kerusi DUN dan untuk capai lebih 30 kerusi DUN satu perkara boleh diusahakan dan itulah hasrat di Selangor," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan PN menyasarkan memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada PRN yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada sokongan pengundi terutama kaum Melayu kepada PN semasa PRU15 lalu.