Terpulang kepada Noh jika mahu sertai PN - Azmin
Perikatan Nasional (PN) sentiasa membuka pintu kepada mana-mana tokoh politik, termasuk bekas pemimpin Umno Noh Omar untuk menyertai gabungan itu, kata ketua penerangannya, Mohamed Azmin Ali.
"Terpulang kepada Noh Omar jika mahu menyertai PN.
"Dalam suasana politik semasa, kita perlukan sokongan semua pihak dan saya percaya Noh mempunyai pengalaman begitu panjang dalam perjuangan (ketika) dia berada dalam Umno.
"Beliau antara tokoh yang berani menegur kepincangan dan kecurangan dalam Umno dan apa langkah seterusnya, kita serahkan kepada Noh dan bersedia menerima mana-mana individu yang ingin bersama PN,” katanya pada majlis rumah terbuka Hari Raya Terbuka anjuran Adun Gombak Setia, Hilman Idham hari ini.
Terdahulu, Azmin yang juga pengerusi PN negeri Selangor diminta mengulas mengenai kehadiran bekas ketua Umno Selangor pada majlis hari ini.
Noh bagaimanapun enggan mengulas sama ada dia akan menyertai PN.

Untuk rekod, pada Januari yang lalu, Umno memecat Noh dari parti itu atas kesalahan melanggar perlembagaan parti.
Susulan itu, Noh mengumumkan bahawa dia akan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di bawah tiket PN.
Namun, bekas ahli parlimen Tanjung Karang itu tidak menjelaskan parti yang akan akan diwakilinya di bawah gabungan itu.
Gabungan PN mempunyai tiga parti komponen iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/257747622b657ea1f5f15acf1cd7f35a.jpg)
