Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19 bukan lagi kecemasan antarabangsa - KKM
Diterbitkan:  May 8, 2023 12:49 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan Covid-19 tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).

Menterinya Dr Zaliha Mustafa menerusi kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu susulan daripada hasil mesyuarat Jawatankuasa Darurat Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa(IHR) yang berlangsung pada 4 Mei di Geneva.

"Keputusan ini mengambil kira trend global yang menunjukkan penurunan bagi kes kematian Covid-19, kemasukan kes ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tahap imuniti populasi dunia terhadap virus SARS-CoV-2 yang tinggi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata antara penyumbang keputusan tersebut melibatkan kebolehcapaian kepada diagnosis, rawatan, dan vaksin serta pemantauan varian virus SARS-CoV-2 juga menunjukkan tidak menyebabkan jangkitan Covid-19 yang teruk.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan dari 1 Jan hingga 30 Jun dan menjangkakan penilaian risiko situasi jangkitan Covid-19 akan dilaksanakan pada pertengahan Jun 2023 bagi menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan.

"Kementerian Kesihatan akan meneruskan langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 berdasarkan protokol sedia ada serta membuat semakan semula dan mengemas kini garis panduan Covid-19 dengan merujuk kepada kenyataan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) berkaitan transisi pengurusan jangka masa panjang pandemik Covid-19," katanya.

Kementerian Kesihatan sentiasa komited dan akan terus memantau situasi Covid-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS