Dr M: Alangkah baik, jika selain pakai tanjak undi calon Melayu
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meminta pengundi Melayu untuk mengundi calon Melayu terbaik pada pilihan raya negeri akan datang untuk mendirikan kerajaan yang bebas rasuah dan penjenayah.
"Ramai orang Melayu sekarang memakai tanjak sebagai cara untuk menunjuk ke-Melayuan mereka. Sikap berbangga dengan bangsa memang baik.
"Alangkah baiknya jika selain tanjak, orang Melayu juga berbangga dengan mengundi dalam pilihan raya bagi calon Melayu yang terbaik supaya kerajaan yang akan didirikan oleh calon-calon yang menang dapat mendirikan kerajaan yang juga baik," katanya pada kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Mahathir mahu menganjurkan perhimpunan ‘Proklamasi Orang Melayu’ tetapi kemudian mendakwa rancangan itu disekat pihak berkuasa selepas empat kali pembatalan tempahan lokasi penganjurannya.

Bagaimanapun, Mahathir tidak mendedahkan sebarang bukti mengenai dakwaan wujudnya campur tangan pihak kerajaan berkaitan perkara itu.
Seterusnya, bekas ahli parlimen Langkawi itu menggerakkan kempen ‘Proklamasi Orang Melayu’ secara dalam talian.
Sekretariat pergerakan itu dilaporkan berkata, kempen dalam talian tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang agenda pergerakan itu untuk bangsa dan negara.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu selanjutnya dilaporkan tampil menyatakan sokongan terhadap ‘Proklamasi Orang Melayu’.

Sementara itu, Mahathir berkata mengundi selepas menerima sogokan tidak menunjukkan ke-Melayuan.
"Tidak mengundi atau mengundi kerana sogokan tidak menunjuk ke-Melayuan yang boleh dibanggakan, kerana hasilnya ialah pemerintahan oleh perasuah dan penjenayah.
"Pakailah tanjak tetapi undilah dan tentukan kemenangan bagi Melayu yang kuat ke-Melayuan mereka dan mampu mendirikan kerajaan yang boleh kita bangga dengannya," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/430b34f9aaf09fe43168af044181d4c2.jpg)
